PASIR PUTEH - Dua beradik tidak mahu memikirkan soal kerja kerana mahu menum­pukan sepenuh perhatian terhadap ibu mereka yang menghidap kanser tulang tahap empat.

Siti Nor Aishah Hussin, 18, dan adiknya, Siti Nor Asyikin, 16, yang sudah tidak bersekolah tabah menjaga ibu mereka, Miss Maehyah Mahama, 52, yang kini terlantar di rumah di Kampung Seri Aman.

Siti Nor Aishah berkata, selepas kematian bapanya pada 2013, kehidupan keluarga semakin terhimpit.

Menurutnya, keluar­ganya kini bergantung kepada abangnya yang bekerja kilang di Johor, selain bantuan bulanan RM200 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Sebelum ini ibu dirawat di Hospital Uni­versiti Sains Kubang Kerian. Sekarang hanya perlu rujuk ke Hospital Tengku Anis, ringan sikit bebanan kami.

“Saya pernah bekerja untuk bantu keluarga tetapi akhirnya saya ambil keputusan berhenti kerana mahu menjaga ibu,” katanya.

Siti Nor Aishah berkata, mereka kini tinggal di rumah sewa dengan bayaran RM150 sebulan.

“Saya hanya mampu ber­doa agar ibu cepat sembuh, saya tak sanggup lihat ibu menderita.

“Saya tahu dia mena­han kesakitan setiap hari tapi cuba disem­bunyikan ke­rana tidak mahu anak-anak risau,” katanya.

Menurutnya, ibunya sudah lama menghidap kanser tetapi keadaan semakin kritikal sejak lima bulan lalu.

Orang ramai yang mahu membantu keluar­ga ini boleh menghubungi Siti Nor Aishah di talian 011-61846124.