TANAH MERAH – Dua remaja perempuan yang keluar dari rumah jam 2.30 petang kelmarin, ditemui semula selepas tiba di stesen kereta api Tanah Merah, jam 8 malam tadi.

Mereka kemudian dibawa oleh ahli keluarga untuk membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah Tanah Merah.

Sebelum ini, ahli keluarga dua remaja itu bimbang anak mereka kemungkinan dibawa lari kerana tidak dapat dihubungi sejurus dilihat menaiki kereta Wira bercermin gelap.

Siti Nurshafarina Mohd Asni, 18, bersama rakan karibnya, Noramimi Najwa Ruzlan, 14, keluar daripada rumah menaiki motosikal ke bandar Tanah Merah atas urusan kerja.

Ibu Shafarina, Siti Rohaya Abd Razak, 38, berkata, kawan anak sulungnya itu segera menelefon apabila melihat dua rakan baik itu menaiki kereta Wira bercermin gelap dekat
jalan utama Kota Bharu-Machang-Jeli, kira-kira dua kilometer daripada rumah.

“Motosikal dan kuncinya ada, namun kami tidak syaki apa-apa mungkin mereka naik kereta bersama rakan yang dikenali, tapi jam 6.30 petang masih tidak pulang. Suami saya mula mencari di kawasan sekitar namun gagal mengesan mereka.

“Saya rasa mereka dibawa lari kerana tidak mempunyai rakan lelaki kerana kurang bergaul dan sentiasa berada di rumah selepas tamat tingkatan lima, lagipun ketika keluar rumah,
Shafarina langsung tidak membawa wang,” katanya kepada Sinar Harian.

Siti Rohaya berkata, jam 9 malam Shafarina dihubungi sepupunya Nur Ruziana Amir, 15, dan dia mengatakan mahu pulang tetapi tidak dibenarkan berbuat demikian.

Tambahnya, anaknya mengatakan dibawa ke Pantai Irama Bachok sebelum menuju ke Besut, Terengganu.

“Ketika dihubungi kedengaran suara lelaki yang menghalangnya daripada terus menggunakan telefon bimbit membuatkan kami merasakan ada sesuatu yang tidak kena.

“Selepas Shafarina kata dia ada di Besut kira-kira jam 11 malam, suami bersama rakannya bergegas ke sana untuk mencarinya. Bagaimana pun, saya gagal menemuinya,” katanya.

Sementara itu, ibu Noramimi, Rosnani Abdullah, 32, anaknya turun dari rumah sehelai sepinggang dan tidak dibekalkan wang kerana dikatakan mahu ke bandar atas urusan penting.

“Saya bimbang mereka dibawa lari kemudian dipaksa melakukan perkara yang tidak elok memandangkan sudah banyak kes membabitkan remaja perempuan,” katanya.

Shafarina anak kedua daripada lapan beradik adalah bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temangan, Machang.

Manakala Noramimi anak sulung daripada empat beradik adalah bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Merah 1.

Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.