• Dilema penanam tembakau Sistem ‘boiler’ yang bernilai RM1.2 juta ini bakal tersadai begitu sahaja jika industri tembakau di Kelantan tidak dipulihkan.
  • Dilema penanam tembakau Rumah jemuran tembakau (ban) yang lebih moden ini dilaburkan untuk merancakkan industri tembakau bakal menjadi projek gajah putih jika tembakau tempatan dilupuskan di Malaysia.
1 /

BACHOK - Kerajaan digesa campur tangan berkaitan isu syarikat rokok yang didakwa bertindak mengurangkan kuota bekalan tembakau tempatan, sekali gus menutup periuk nasi penanam tembakau negeri ini.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Tembakau Malaysia, Mohamad Ismail berkata, isu itu semakin serius kerana sehingga hari ini penanam tembakau dalam dilema sama ada masih perlu menanam tembakau atau tidak.


Tiada jawapan

Beliau berkata, bulan November adalah musim menabur benih, namun kini mereka tidak dapat berbuat demikian kerana satu- satunya syarikat rokok yang beroperasi di negara ini masih belum memberikan jawatan kuota mereka.

“Kami penanam tembakau seolah dianaktirikan kerana kuota tembakau tempatan semakin sedikit, sedangkan syarikat rokok mengaut keuntungan berbilion setiap tahun kerana menggunakan tembakau import.

“Pada saya, selagi rakyat negara ini menghisap rokok, selagi itulah tembakau boleh menjadi sumber pendapatan ekonomi rakyat. Sebaliknya kini, penanam tembakau seolah berdepan hukuman dibuang kerja kerana kerajaan membenarkan syarikat rokok mengimport tembakau luar.

“Kerajaan sepatutnya mengehadkan import daun tembakau demi untuk menjaga periuk nasi rakyat,” katanya ketika sidang media di kilangnya dekat sini.


Dianaktirikan

Mohamad berkata, nasib penanam tembakau tidak pernah terbela seperti petani lain yang mendapat pelbagai subsidi dan bantuan.

“Tembakau masuk ke Malaysia pada 1959 dan sejak itu ia mengubah banyak struktur ekonomi Kelantan dan Malaysia amnya.

“Namun apa yang menyedihkan, harga tembakau yang diguna pakai hari ini adalah harga kali terakhir yang disemak pada 1985.

"Sedangkan pelbagai barang keperluan lain sentiasa disemak dan bergantung kepada pasaran semasa, tetapi tidak bagi tembakau,” katanya.


Guna tembakau luar

Mohamad berkata, tahun ini sahaja tiga pengilang kecil menghentikan pengambilan tembakau, sedangkan empat tahun lalu pengilang utama juga mengambil langkah sama.

“Mereka kini dapatkan bekalan tembakau luar seperti dari Thailand dan Indonesia kerana kos pengeluaran dan upah buruhnya lebih murah.

“Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana kilang beroperasi di Malaysia dan rokok dipasarkan di Malaysia tetapi tembakau diambil dari luar Malaysia. Di mana keadilan untuk kami penanam tembakau yang selama ini banyak menyumbang untuk ekonomi negara,” katanya.


Hilang mata pencarian

Manakala, wakil penanam tembakau, Roslin Che Soh berkata, kini kira-kira 6,000 penanam tembakau di Kelantan bakal hilang punca pendapatan ekoran tindakan tersebut.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, 5,000 ialah penanam dari daerah Bachok dan selebihnya dari Pasir Mas, Pasir Puteh dan Tumpat.

Roslin berkata, jika kerajaan berhasrat memperkenalkan tanaman lain menggantikan tembakau, ia dikatakan tidak berbaloi.

“Tanah di sini berbeza kerana tidak sesuai untuk getah, kelapa sawit atau padi. Jika tanam sayur, hasilnya tidak menentu dan risiko rosak yang tinggi.

“Harga timun hampir 50 kilogram hanya mampu dijual dengan harga RM10. Tiada keuntungan, hal ini tidak boleh dipandang remeh kerana melibatkan ribuan penanam tembakau.

"Biasanya bulan Mac kami sudah boleh menuai hasil untuk keperluan persekolahan anak tetapi kini saya tidak tahu jawapan yang perlu diberikan kepada penanam yang datang bertanya kuota kepada saya,” katanya yang juga Penyelaras Lembaga Kenaf dan Tembakau
Daerah Bachok.