APABILA membicarakan tentang seni budaya Kelantan, kita tidak boleh mengelak untuk mengupas mengenai kebudayaan dikir barat yang sinonim dengan masyarakat negeri ini.

Perkataan dikir ialah hasil dari dua kombinasi seni iaitu pantun dan syair spontan atau ‘karut’ . Pengertian ‘karut’ itu sendiri ialah dari istilah mengarut dalam bentuk pantun atau syair. Jadi dikir barat dan dikir karut  adalah sama ertinya. Bagaimanapun di Kelantan ia lebih terkenal dengan dikir barat manakala di Selatan Thai dengan dikir karut.

Dikir barat ini boleh dipersembahkan sebagai hiburan ataupun dipertandingkan dan persembahan ini kebiasaannya dimainkan oleh masyarakat di musim menuai padi dan juga di majlis perkahwinan.

Kini dikir barat juga dipertandingkan dan sering diadakan oleh persatuan-persatuan belia tempatan, badan-badan kerajaan ataupun orang-orang tertentu.

Sinar Harian akan mengupas mengenai survival seni dikir barat ini ketika mendepani cabaran dunia hiburan yang semakin canggih dan terkini.    

Dikir Barat adalah permainan yang baru jika dibandingkan dengan teater tradisional yang lain. Perkembangannya sukar diatasi kerana ia sering menerima perubahan dari bentuk persembahannya dari masa ke semasa mengikut perkembangan zaman.

Kini ia turut mengalami perubahan berikutan peredaran zaman yang semakin moden dan ada sesetengah pihak mendakwa dikir barat kini telah dicampur adukkan dengan dikir moden yang secara langsung telah menyebabkan identitinya hilang.

Dikir barat vs dikir moden

Sejauh manakah kebenaran dakwaan itu? Sinar Harian turut mendapatkan komen penggiat seni dikir yang aktif berkecimpung dalam dikir barat di Kelantan, bagi mendapatkan penjelasan ini.

Bagi Mohd Aswady Adnan yang lebih 30 tahun menceburi bidang dikir barat sejak di pusat pengajian tinggi hingga kini berkata, biarpun teknologi dan peredaran masa berubah, namun beliau tidak merasakan dikir barat terpinggir kerana perkembangan lagu-lagu loghat Kelate masih mendapat tempat di hati peminat seni terbabit.

Menurut pandangan beliau, biarpun ada yang cuba memberi pandangan negatif pada dikir barat apabila berlaku percampuran muzik moden dan dikir hingga merosakkan budaya Kelantan, sebenarnya ia bukan dikir moden tetapi ia lebih sesuai dipanggil lagu loghat Kelate.

“Untuk digelar dikir, sesuatu lagu itu perlu ada asas alat muzik dikir barat tu sendiri antaranya rebana ibu, rebana anok, gong, marakas dan canang.

“Sesuai dengan peredaran zaman, tidak salah jika penggiat dikir ingin mencampurkan muzik asas dikir itu dengan alatan muzik moden.

“Lagipun saya melihat dikir barat juga perlu dinamik demi memastikan ia kekal relevan dan diminati peminat masa kini,” katanya.

Dikir barat perlu pembaharuan

Namun Jelas Mohd Aswady, sebagai penggiat dikir, beliau lebih cenderung kepada dikir barat yang menggunakan alatan asas dikir barat.

“Saya sedikit pun tidak rasa terpinggir sebaliknya berbangga kerana masih ramai peminat yang mengikut dan meminati dikir barat ini.

Mohd Affandi (kiri) dalam persembahan dikir barat yang disertai di Kelantan.

“Bagi saya dikir barat terus melangkah gagah, tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

“Buktinya sehingga hari ini, penggiat dikir silih berganti dan kesenian ini masih diminati segenap lapisan masyarakat.

Dahagakan promosi

Sementara itu bagi seorang lagi penggiat dikir, Mohd Affandi Mohamad berkata, melalui pengalamannya, dikir dibahagikan kepada dua, iaitu dikir moden dan dikir asli.

Jelas beliau, antara dikir moden dan dikir asli ini, ia berkait rapat kerana kebanyakan penggiat dari kelompok yang sama sahaja.

“Namun semenjak peredaran masa, golongan muda juga mula menerima dikir barat yang menggunakan loghat daerah iaitu loghat ‘Kelate’ dan ada juga dimodenkan dengan memasukkan unsur rap namun masih mengekalkan keasliannya.

“Ia masih lagi dipersembahkan dalam dialek Kelate namun persembahan dikir kini sedikit menurun berbanding sebelum ini di majlis-majlis di negeri ini,” katanya.

Ujar Mohd Affandi lagi, situasi lesu ini berlaku berikutan seni budaya itu kini hanya diminati oleh kelompok yang sama di Kelantan dan usaha semua pihak harus dipergiatkan agar dikir barat lebih popular.

“Sebenarnya sebagai penggiat seni, saya juga turut terkesan namun menerima dengan tangan terbuka malah perjuangan mempertahan seni dikir barat haruslah mendapat sokongan.

“Tidak timbul isu percampuran dikir barat dan moden di sini, jika perjuangan anak seni adalah untuk membudayakan seni Kelantan yang semakin hari semakin suram jika tidak dipertahankan.

“Maka sokongan semua pihak perlu dalam menghidupkan budaya Seni Kelantan dalam usaha mempertahankan budaya seni warisan terdahulu yang merupakan identiti rakyat di negeri Cik Siti Wan Kembang,” katanya.