PASIR PUTEH - Persatuan Artis-artis Dikir Barat Malaysia (Perardikma) dan Persatuan Penggiat Seni Dikir Barat Negeri Terengganu (Pendikir TRG) mengadakan dikir amal bagi membantu pelakon, pelawak dan penggiat dikir barat, Mohd Idris Berahim, 58.

Presiden Perardikma, Sulizi Che Awang berkata, rakan seperjuangan mereka itu yang lebih dikenali sebagai Abang Jali Salam Pantai Timur memerlukan bantuan dan sokongan selepas kaki kanannya dipotong akibat diabetes kronik.

Menurutnya, susulan itu, artis-artis dikir barat bersepakat menjayakan dikir amal di beberapa lokasi di Kelantan dan Terengganu.

"Kita mengumpul derma melalui program ini untuk diserahkan kepada Abang Jali yang kini terlantar di rumahnya," katanya.

Beliau berkata, antara rakan artis yang menjayakan program pertama itu adalah Cikgu Anirulmukmin, Wan Kemahang, Man Tok Raja, Mali Suara Baru, Abe Jali Keto Sewa, Li Kelana, Nizam Siulan Manja, Pok Ya Mangku dan Pok Nik Oh La La.

Program kedua pula dijayakan Man Khan, Pak Leh Agogo, Fadil Turbo, Meli Tumpok, Sota Langit Biru, Mail Anak Kala, Ezeri Layang-layang Puteh, Ramli Raja Laut, Noya Bano dan Jen Endoro.

"Kumpulan dikir yang mengiringi persembahan itu adalah Kumpulan Kupendikir Besut, Sinar Baru Chica, Dikir Arwana Seri Muda, Cenderawasih KRT Jabi dan Sri Tanjung Kuala Pantai Sabak," katanya.

Sulizi berkata, keprihatinan artis dikir barat Kelantan dan Terengganu dalam meringankan beban rakan seperjuangan sangat dipuji.

"Sikap cakna seperti ini mesti dikekalkan supaya nasib artis dikir barat terus terbela dan perhubungan sesama kita diperkukuhkan.

"Kita mungkin tidak mampu membantu jika bergerak secara individu tapi kita mampu jika bergerak secara berkumpulan seperti yang kita laksanakan ini," katanya.