• Daftar ahli PVTTB untuk bantuan Antara bekas tentera yang hadir pada majlis perasmian Gerak Gempur Pendaftaran Ahli PVTTB di Kuala Krai, kelmarin.
1 /

KUALA KRAI - Bekas anggota tentera tidak berpencen diminta segera mendaftar sebagai ahli Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen (PVTTB) dengan sasaran awal ahli di parlimen ini dijangka mencecah 1,000 orang.

Ketua Gerakan Gerak Gempur Pendaftaran Ahli PVTTB parlimen ini, Mohd Noor Sulaiman berkata, pendaftaran sebagai ahli penting bagi melayakkan mereka menerima pemberian Sumbangan Veteran Tidak Berpencen 1Malaysia (SVTB1M) sebanyak RM1,000.

Setakat ini katanya, sebanyak empat perjumpaan dengan bekas anggota tentera terbabit diadakan bagi memaklumkan mengenai pendaftaran itu dan mengesan veteran tentera tidak berpencen di parlimen ini.

“Sehingga kini, kira-kira 400 sudah mendaftar ahli. Pendaftaran bukan hanya untuk membolehkan mereka menerima SVTB1M, tetapi juga memudahkan persatuan mengenal pasti masalah bekas tentera tidak berpencen,” katanya.

Mohd Noor ditemui pada majlis perasmian Gerak Gempur Pendaftaran Ahli bagi Dun Mengkebang dan Guchil yang dirasmikan Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Datuk Paduka Dr Junaidi Abu Bakar.

Pada majlis itu, Junaidi yang dilantik sebagai Penasihat Kehormat PVTTB Parlimen Kuala Krai turut mengumumkan bantuan RM1,000 kepada persatuan untuk urusan pentadbiran.

Hadir sama, Timbalan Ketua Gerakan PVTTB Kelantan, Mohd Kamaruzzaman Ghani; Ketua Gerakan PVTTB Dun Manek Mengkebang, Daud Majid dan Ketua Gerakan Dun Guchil, Mohd Noor Sulaiman.

Mohd Noor berkata, untuk menjadi ahli, bayaran pendaftaran sebanyak RM10 dikenakan dan RM50 untuk yuran seumur hidup, manakala untuk menjadi ahli Koperasi Veteran Tentera Tidak Berpencen, mereka perlu bayaran RM10.

Katanya, bekas anggota tentera tidak berpencen belum mendaftar sebagai ahli boleh menghubungi ketua yang dilantik di setiap daerah atau terus menghubunginya di 011-149733606.

“Saya berharap bekas anggota tentera terbabit menghubungi kami secepat mungkin. Bagi yang sudah mendaftar sebagai ahli, mereka boleh bantu dengan menghebahkan mengenai pendaftaran keahlian persatuan,” katanya.

Pemberian sekali gus RM1,000 SVTB1M diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2013 melibatkan peruntukan sebanyak RM224 juta dengan 50 peratus daripadanya dibiayai kerajaan dan 50 peratus lagi
Lembaga Tabung Angkatan Tentera.