TUMPAT - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor merampas 22 tong petrol bernilai RM1,386 disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Banjir di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah PPM Pengkalan Kubor, Asisten Superintenden Ahmad Amri Abd Rahman berkata, serbuan dilakukan jam 1 pagi apabila enam anggota Unit Risikan Marin ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat orang awam.

“Dalam serbuan itu, anggota menemui tong berisi petrol di dalam kereta proton Iswara Aeroback yang ditinggalkan dengan pintunya tidak berkunci.

“Bagaimana pun tiada tangkapan dilakukan kerana penyeludup melarikan diri dan meninggalkan kereta itu,” katanya.

Menurutnya, anggotanya merampas kesemua petrol itu sebanyak 660 liter bersama kereta terbabit untuk dibawa ke markas operasi PPM Pengkalan Kubor.

“Setelah anggota PPM menunggu lebih kurang 15 minit, tiada siapa yang tampil mengaku sebagai pemilik ke atas tong-tong yang berisi petrol itu.

“Anggota kemudiannya merampas kesemua petrol dan kereta itu dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM6,386 ke markas PPM untuk dibuat laporan polis,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau meminta orang awam menyalurkan sebarang maklumat berhubung apa jua kegiatan penyeludupan.