GUA MUSANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), menyifatkan kenaikan harga ikan di Kelantan hanyalah bersifat sementara ekoran faktor cuaca.

Pengarah KPDNKK Kelantan, Datuk Ab Ghani Harun berkata, biarpun kenaikan itu berlaku hingga 20 peratus, namun ia bukanlah mencecah harga melambung.

Katanya, ia adalah senario biasa sekiranya berdepan dengan cuaca termasuk musim tengkujuh di mana rata-rata nelayan menolak untuk turun ke laut demi keselamatan diri.

"Kenaikan ini adalah situasi yang tidak dapat dielakkan di mana kita faham keadaan ini dan alasan nelayan di mana mereka sukar ke laut apabila berdepan dengan cuaca yang tidak mengizinkan.

"Ia hanyalah bersifat sementara malah ada masa penurunan berlaku hingga 70 peratus. Dalam hal ini, pengguna perlu lebih bijak dalam membuat pilihan.

"Gunakan sebaiknya peluang-peluang promosi yang diadakan di sekitar pasaraya berdekatan kerana di situ penawaran harga dibuat pada paras yang lebih rendah," katanya lagi.

Beliau berkata demikian selepas Pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Depavali 2017, di Pasaraya Econjaya, di sini, hari ini.

Turut hadir, Penyelaras Pengguna Parlimen Gua Musang, Datuk Wan Hazani Mohd Noor dan Ketua Cawangan KPDNKK Daerah, Adnan Abd Aziz.

Dalam pada itu, Abd Ghani memberitahu, KPDNKK turut menetapkan 16 jenis barangan harga terkawal menerusi Skim Kawalan Harga Perayaan (SKHMP) sempena sambutan Deepavali selama 10 hari, berkuatkuasa 13 Oktober ini di 68 pasaraya di negeri ini.

"Skim kawalan harga ini akan mula dilaksanakan pada 13 hingga 22 Oktober ini selama 10 hari meliputi barangan seperti ayam, daging, telur, cili merah, tomato, kelapa, bawang, ubi kentang dan kacang dhal," katanya lagi.


 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • GEORGETOWN - Kerajaan negeri pimpinan DAP tidak boleh menyalahkan cuaca setiap kali berlaku banjir, kata Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman.
  • PONTIAN - Golongan nelayan di minta lebih berhati-hati dengan keadaan cuaca yang sering berubah khususnya terhadap situasi laut bergelora dan angin kencang.
  • ALOR SETAR - Cuaca panas dan angin kencang sepanjang kayuhan dari Kuala Perlis, Perlis ke Masjid Zahir, di sini sedikit pun tidak membantutkan misi kayuhan pendaki solo negara, Khairil Aslan Ab Rashid untuk meneruskan ekspedisi Kayuhan Solo 'Dari Masjid Ku Menjelajah'.
  • KEPONG - Bekalan tidak mencukupi antara faktor berlakunya kenaikan harga ikan dan sayur dalam pasaran baru-baru ini.