TUMPAT - Hidup bersama seorang anak sindrom down yang turut mengidap penyakit paru-paru kronik bukan mudah dilalui buat seorang ibu, lebih-lebih lagi dugaan itu ditanggung seorang diri.

Roslina Hassan, 38, yang tinggal di Kampung Chenderung Kubu berkata, lebih memeritkan apabila suaminya, Zulkifli Che Abdullah, 42, menghilangkan diri tanpa khabar berita ketika anaknya, Mohd Imam Mukmin Zulkifli, yang berusia setahun lapan bulan bertarung nyawa di hospital.

Katanya, hospital menjadi rumah kedua apabila 10 bulan anaknya itu ditahan di wad kanak-kanak Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), sejak dimasukkan pada Ogos tahun lalu.

"Kalau dikira sudah tujuh kali anak saya masuk hospital, paling lama 10 bulan ditahan di wad dan baru keluar hospital Jun lalu.

"Waktu itu jugalah suami saya menghilangkan diri lepas beritahu nak cari kerja pada Disember lalu. Dia tak dapat dihubungi lepas doktor beritahu anak saya tenat dan perlukan suami di sisi. Saya cuba sekali lagi jejaki dia dan dapat berhubung dengan kakak ipar.

"Dia (kakak ipar) beritahu suami saya berada di Johor tetapi dia tetap tak pulang jumpa kami," katanya sayu.

Ujarnya, dia kini hanya bergantung harap pada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan dan pernah menerima zakat daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

"Sebelum ini saya pernah bekerja sebagai pembantu tadika swasta di Pasir Mas tapi terpaksa berhenti kerja kerana masalah kesihatan anak," katanya.

Roslina berkata, anaknya kini terpaksa bergantung pada mesin oksigen 24 jam dan susu perlu disalurkan melalui perut yang ditebuk.

"Memang sukar saya tinggalkan dia untuk cari nafkah kerana saya sendirian menemaninya di hospital tanpa bergilir dengan sesiapa.

"Suami pula langsung tak tanya khabar dan hantar nafkah kepada kami. Namun saya bersyukur masih ada adik beradik ambil berat dan banyak bantu bawa anak ke hospital kerana saya tak tahu bawa kereta atau motosikal," katanya lagi.

Menurutnya lagi, perbelanjaan anaknya juga besar kerana perlu minum susu khas mencecah RM900 sebulan serta kos ulang-alik ke hospital.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • RANTAU PANJANG - Usianya sudah mencecah 37 tahun, namun seorang gadis yang merupakan penhidap penyakit Sindrom Down di Kampung Gading, Bakong, di sini akan berada di atas riba bapa jika sesiapa bertandang ke rumahnya.