BACHOK – Keluarga murid yang ditularkan kerana memakai kasut lusuh ​pada hari pertama persekolahan awal tahun ini mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk anggota Bomba Sukarela Squad 4x4 Pengkalan Chepa, dekat sini.

Timbalan Dipertuan 1 Pasukan Bomba Sukarelawan Pengkalan Chepa, Aman Shah Zainal Abidin Ab Rahman berkata, seramai 20 anggota bomba sukarelawan meluangkan masa membersihkan kawasan sekitar rumah keluarga Nadia Natasha Ibrahim di Kampung Sador, Tawang.

Beliau berkata, banyak pihak tampil menghulurkan pelbagai sumbangan dan pihaknya pula teruja untuk membantu membersihkan persekitaran rumah keluarga berkenaan.

Anggota Bomba Sukarela Squad 4x4 Pengkalan Chepa membawa pelbagai sumbangan untuk dihulurkan kepada keluarga Natasya di Kampung Sador, Tawang.

“Ramai orang yang hadir hulurkan sumbangan material untuk keluarga ini dan kami sebagai sukarelawan hulurkan tenaga untuk pastikan kebersihan kawasan ini.

"Saya rasa aspek kebersihan juga perlu diberi keutamaan dalam kehidupan dan sebab itulah kami hadir untuk membantu.

“Selain itu, kami juga membawa sedikit keperluan harian seperti beras, minyak masak, tikar getah, tikar, serta bekalan air mineral untuk mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, operasi pembersihan dilakukan di dalam rumah termasuk memasang tikar getah baru, mengutip semua longgokan sampah di dalam dan luar rumah serta persekitaran rumah berdekatan kawasan berkenaan.

Operasi pembersihan itu mengambil masa hampir tiga untuk disiapkan sepenuhnya.

Manakala, bapa Natasha, Ibrahim Donik mengucapkan terima kasih kepada pihak berkenaan yang meluangkan masa membersihkan persekitaran kawasan itu dan menghulurkan sumbangan keperluan harian kepada keluarga mereka.