KOTA BHARU – Kerajaan negeri menyeru kepada semua rakyat negeri ini untuk berhati-hati semasa memandu dan jagalah keselamatan di jalan raya sempena musim perayaan kali ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dalam perutusan Hari Rayanya berkata, seluruh rakyat juga diminta untuk saling bertimbang rasa dan berhemah dalam pemanduan, selamat sejahtera tanpa apa-apa musibah di jalan raya.

“Hari Raya Aidilfitri adalah salah satu daripada hari kebesaran dalam Islam yang menandakan hari kemenangan buat umat Islam yang bermujahadah pada bulan Ramadhan. Hendaklah kita semua menyambutnya dengan penuh kesyukuran kepada Allah Ta’ala.

“Ambillah peluang untuk saling menziarahi dan mengunjungi bagi mengeratkan hubungan sesama keluarga dan rakan taulan.

"Maaf bermaafan antara satu sama lain serta mendoakan buat saudara-saudara kita yang berada dalam kesusahan di seluruh dunia,”katanya.

Beliau juga turut mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pengundi yang telah memberikan sokongan penuh dan mandat kepada Kerajaan Negeri bagi meneruskan agenda Merakyat Membangun Bersama Islam di bumi Kelantan.