KOTA BHARU – Cubaan seseorang lelaki meloloskan diri dari polis gagal apabila ditahan bersama dadah dipercayai pil kuda dianggarkan bernilai RM15,000 di Kampung Baung, Pengkalan Chepa, malam tadi.

Suspek berusia 21 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu jam 9.30 malam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, pasukan serbuan yang melakukan intipan melihat suspek berjalan di satu lorong dalam keadaan mencurigakan sambil memegang bungkusan plastik.

Katanya, ketika dihampiri polis, suspek cuba melarikan diri menyebabkan berlaku pergelutan, namun berjaya ditahan.

“Pemeriksaan dalam plastik yang dipegang suspek menjumpai lima plastik paket kecil mengandungi 1,000 dipercayai pil kuda bernilai RM15,000.

“Suspek bersama barang kes kemudian dibawa ke balai polis untuk tindakan selanjutnya. Perintah reman selama seminggu dibenarkan mahkamah bagi membantu siasatan,” katanya.