TUMPAT - Padi ditanam tetapi diancam lalang apabila bekalan air yang dibekalkan pam air Kuala Jambu tidak mencukupi.

Bahkan, sesetengah kawasan di bendang Kaloi dan Kuala Jambu seluas 120 hektar mula merekah kerana kekurangan air.

Keadaan yang berlarutan sejak tiga bulan lalu itu meresahkan 20 petani kerana mereka berdepan kerugian besar.

Petani, Saudi Zakaria, 60, berkata, bekalan air tidak mencukupi disebabkan air dari Kuala Jambu dipam tidak mengikut jadual yang ditetapkan.

"Setahu saya ia perlu dipam enam jam sehari tapi yang berlaku di sini hanya dua jam.

"Masa mengepam air itu singkat sangat, jadi bendang yang berada di kawasan hujung tak dapat bekalan air mencukupi," katanya.

Menurutnya, apabila air dalam sawah kurang, tanaman padi mula diancam penyakit.

"Padi tak menjadi dan apabila tiba musim menuai nanti, hasil yang diperoleh hanya separuh kerana padi bercampur lalang," katanya.

Rosli Hasan, 26, berkata, masalah air itu berlaku sejak musim membajak sawah lagi.

"Tak sangka masalah ini akan berpanjangan. Sawah pun dah ada yang merekah. Jika keadaan ini berlarutan, kami tak dapat hasil musim ini.

"Mungkin sawah kami akan diancam tikus pula sebab sawah kering," katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Teluk Jering, Abdullah Mat Yusof berharap masalah petani itu mendapat perhatian Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada).

"Air dipam setiap hari tetapi tidak mencukupi, mungkin ada cara untuk atasinya demi periuk nasi petani di sini," katanya.