KOTA BHARU - Bukan sekadar mengawal kolesterol dan tekanan darah tinggi, sebaliknya bekam kini lebih menyeluruh fungsinya dalam mengurangkan risiko terhadap penyakit kardiovascular.

Juru bekam Klinikal, Prof Dr Ab Aziz Al-Safi Ismail berkata, kaedah rawatan berbekam wujud sejak 1,500 sebelum Masihi dan ia diakui mempunyai keberkesanannya dalam mengawal penyakit kronik yang sering dihadapi rakyat negara ini.

“Malah kajian terbaru yang saya jalankan bersama sepasukan penyelidik dari Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian mendapat penemuan baru apabila mampu mengurangkan risiko penyakit jantung.

“Kajian yang dijalankan ke atas individu sihat, yang menghadapi masalah diabetes dan darah tinggi ini bertujuan mengenal pasti kesan terapi bekam basah dalam kalangan subjek ke atas indeks jisim tubuh, tekanan darah, parameter biokimia, fungsi ginjal dan fungsi endothelial,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Menurutnya, daripada 93 subjek berumur antara 30 hingga 60 tahun yang menyertai kajian itu, 62 daripadanya tidak mempunyai sebarang penyakit kronik, dan mereka dibahagikan secara rawak serta seimbang kepada kumpulan kontrol dan intervensi.

“Manakala selebihnya merupakan kumpulan diabetes. Bekam dilakukan ke atas subjek dalam kumpulan intervensi dan diabetes, manakala tidak ada intervensi dijalankan ke atas subjek dalam kumpulan kawalan,” katanya.

Dr Ab Aziz berkata, dua sesi bekam dijalankan, iaitu pada permulaan kajian, kemudian pada bulan ketiga, sebelum penilaian dilakukan pada peringkat permulaan, bulan pertama, ketiga (sebelum sesi kedua bekam) dan bulan keempat untuk semua peserta.

“Dalam kumpulan bekam tanpa diabetes terdapat penurunan signifikan paras gula dalam darah (FBS) dan semua parameter fungsi ginjal (serum urea, kreatinin dan asid urik) daripada permulaan kajian kepada bulan pertama, ketiga, dan keempat.

”Serum trigliserida dan tekanan darah sistolik (SBP) juga menunjukkan penurunan yang signifikan di bulan pertama. Semua profil serum lipid kecuali trigliserida menunjukkan penambahbaikan yang signifikan pada bulan ketiga dan keempat," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Langkah mengukuhkan keupayaan ekonomi secara bersama menjadi penggerak kepada penubuhan Koperasi Pengamal Bekam Terengganu Berhad (Kobet).
  • KUALA KETIL - Rawatan bekam bukan sahaja mampu mengatasi penyakit, malah sesuai menaikkan seri wajah seseorang.
  • MELAKA - Mungkin sesetengah pihak menganggap tindakannya sebagai tidak masuk akal, namun bagi seorang jurubekam klinikal Al-Hijamah Melaka, di sini, dia mempunyai alasan kukuh untuk melakukan bekam terhadap bayi.
  • ALOR SETAR - Semua pengamal dan pengusaha pusat rawatan bekam disarankan menukar jarum serta cawan yang baru setiap kali selepas rawatan.
  • SEREMBAN - Seorang pekerja aksesori kereta mendakwa badannya melecur akibat kecuaian pekerja sebuah urut di Oakland, di sini, ketika dia melakukan rawatan bekam, bulan lalu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.