PASIR MAS -  Harga pil kuda naik RM5 sebiji berbanding RM10 sebelum itu disebabkan penguatkuasaan ketat oleh polis di negeri ini.

Perkara tersebut diakui sendiri oleh Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah.

Abdullah berkata, sejak operasi berterusan dilakukan pihaknya mendapati bekalan bahan itu berkurangan di pasaran sekali gus menyebabkan berlaku peningkatan harga.

"Peningkatan itu dapat dilihat di kawasan Gua Musang dimana sebelum ini pil kuda dijual  dengan harga RM20 namun naik ke RM25 sebiji," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini.

Menurutnya, polis akan terus mempertingkatkan lagi operasi bagi memastikan penyalahgunaan dadah khususnya pil kuda dapat dikurangkan.

Katanya, kerjasama orang ramai sememangnya diperlukan bagi membanteras kegiatan ini.

"Jika ada maklumat, silalah berhubung terus dengan balai polis berhampiran.

"Kita ambil serius kegiatan pengedaran dadah dan penyalahgunaannya kerana ia boleh membawa kerosakan pada negara," katanya.

Abdullah berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan seluruh agensi penguatkuasaan disempadan Malaysia-Thailand dalam mengekang aktiviti ini terutama di kawasan Rantau Panjang.

Katanya, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya memantau kegiatan anak-anak bagi mengelakkan mereka terlibat dengan najis dadah.