RANTAU PANJANG - Walaupun kurang mendapat kunjungan, namun peniaga di Pasar Rantau Panjang, Bazar Siti Fatimah yang baharu, di sini setia menanti kehadiran pelancong.

Peniaga, Fatimah Idris, 55, berkata, kebanyakan pelanggan tetapnya terdiri daripada peniaga di bazar berkenaan.

"Dulu seronok berniaga sebab ada 10 lagi kedai makan dan minuman lain beroperasi tapi sekarang hanya tinggal dua saja.

"Disebabkan itu juga saya terpaksa masak sikit, bukan apa nanti kalau tak habis saya terpaksa tanggung lebih banyak kerugian," katanya.

Sementara itu, peniaga, Saadah Yacub, 56, berkata, dia akan melayan pelanggan umpama layanan di butik lima bintang berikutan kehadiran pengunjung di bazar berkenaan semakin meruncing.

Walaupun kurang mendapat perhatian pelancong, namun Fatimah (kiri) meneruskan perniagaan di Bazar Siti Fatimah seperti biasa.

 

"Kalau ada pelancong datang, kami seolah-olah berebut pelanggan sebab sekarang nak jual satu barang pun susah.

"Saya juga terpaksa kurangkan keuntungan sebab nak bersaing dengan perniaga lain," katanya ketika ditemui di sini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tambah kemudahan Pasar Siti Fatimah]

[ARTIKEL BERKAITAN: ‘Kami menyesal pindah dulu’]

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Peniaga Bazar Siti Fatimah, Zamri Idris berkata, mereka mengharapkan sokongan semua pihak untuk membantu menaikkan sektor pelancongan di bazar itu.

"Sesuai dengan ulang tahun bazar keempat, saya mengharapkan ia akan terus gah dan mendapat sambutan pelancong sehingga puluhan tahun akan datang," katanya.