KOTA BHARU - Tindakan pengendali bas Cityliner, Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK) menghentikan 31 daripada 37 laluan bas itu menimbulkan menyulitkan urusan orang ramai, termasuk pelajar.

Tinjauan Sinar Harian ke Stesen SKMK di bandar ini semalam, mendapati hanya beberapa bas untuk enam perjalanan dari bandar ke bandar sahaja yang beroperasi seperti biasa.

Orang ramai ditemui rata- rata melahirkan kekesalan di atas tindakan tersebut dan menggesa pihak berkenaan menyelesaikan segera permasalahan itu.

Seorang pelajar, Siti Azian Suhana Che Hassan, 23, berkata, tindakan menghentikan perkhidmatan bas itu benar- benar membebankan pengguna, terutama yang bergantung sepenuhnya pada pengangkutan awam berkenaan.

Menurutnya yang sedang juga penuntut Diploma Makmal Perubatan, Masterskill, pelbagai kesukaran terpaksa dihadapi orang ramai ekoran tindakan tersebut termasuk menganggung beban tambang agak tinggi.

”Saya berulang alik dari Kota Bharu ke Selising, Pasir Puteh dengan menggunakan bas ini sejak dua minggu lalu, walaupun perjalanannya jauh namun tambang masih mampu ditanggung iaitu RM3.50 sahaja, sedangkan jika menggunakan kereta sewa saya terpaksa
menyediakan tambang dua kali ganda,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Stesen Bas SKMK di sini semalam.

Manakala seorang suri rumah, Rohaya Rashid, 40, pula berkata, orang ramai pasti berdepan kesulitan untuk ke bandar selepas tindakan menghentikan perkhidmatan bas ini dilakukan.

Menurutnya, kebanyakan penduduk di kampung bergantung kepada kemudahan awam berkenaan untuk ke bandar kerana harganya lebih murah berbanding kereta sewa yang menelan kos dua hingga tiga kali ganda.


Gesa Kerajaan Negeri selesai segera

Kerajaan Negeri digesa campur tangan dalam isu berkaitan pengangkutan awam berkenaan bagi mengelak ia terus berlanjutan.

Orang awam ditemui, Ismail Mamat, 64, berkata, jika keadaan ini dibiarkan ia akan terus menyulitkan urusan orang ramai di negeri ini termasuk pelajar sekolah yang bergantung sepenuhnya pada kemudahan tersebut.

”Tidak semua orang mampu memiliki kenderaan sendiri, dan masih ramai yang bergantung kepada kemudahan kenderaan awam untuk pergerakan mereka, ia mungkin akan mengganggu pembelajaran anak- anak kita,” katanya ketika ditemui di sekitar Stesen Bas SKMK di sini.

Ismail yang tinggal di sekitar bandar berkenaan berkata, suasana di stesen bas berkenaan juga berbeza daripada biasa apabila tidak lagi sesibuk sebelumnya dengan bas- bas berulang alik mengambil dan menurunkan penumpang.

”Apa yang lebih menyedihkan orang ramai kini terbeban dengan tambang kereta sewa yang melonjak dua kali ganda berbanding sebelum ini,” katanya.


Orang ramai, pelajar sekolah terima akibat

Pelajar sekolah beberapa daerah di negeri ini menerima kesan langsung di sebalik tindakan menghentikan perkhidmatan bas berkenaan selepas difahamkan terpaksa berjalan kaki ke sekolah.

Tinjauan di Pantai Cahaya Bulan (PCB), iaitu salah satu laluan yang dihentikan perkhidmatan mendapati, pelajar- pelajar masih setia menunggu penuh harapan di beberapa perhentian bas untuk pulang ke rumah.

Seorang pelajar ditemui, Mohd Shafiq Ikhwan Azmi, 15, berkata, dia dan rakan- rakan lain dari Sekolah Kebangsaan Kedai Buluh, dekat sini, tidak pasti berapa lama masa yang perlu diambil untuk tiba di rumah.

Pelajar Tingkatan Tiga yang tinggal di Taman Buaya, PCB, menggunakan perkhidmatan bas berkenaan lebih dua tahun lalu sebaik menyambung persekolahan di sekolah tersebut.

”Memang menyulitkan kami untuk ke sekolah setiap hari, kerana ramai dalam kalangan pelajar di sekolah ini yang bergantung kepada bas Cityliner untuk datang dan pulang dari sekolah,” katanya ketika ditemui di perhentian bas berhampiran sekolah berkenaan di sini,
semalam.

Mohd Shafiq berkata, jika sebelum ini dia dan rakan- rakan akan menaiki bas jam 1.50 petang untuk pulang ke rumah, bagaimanapun semalam mereka terpaksa menunggu tanpa mengetahui berapa lama.

”Hari ini kami akan pulang dengan van (bas sekolah), cuma belum pasti pukul berapa, kalau tak ada bas berkenaan mungkin kami perlu berjalan kaki, dalam sejam baru boleh tiba di rumah,” katanya.

Sementara itu, surat pekeliling yang dikeluarkan syarikat itu kelmarin, memaklumkan keputusan menghentikan perkhidmatan bas henti- henti berkenaan dibuat selepas beberapa siri perbincangan dengan Kerajaan Negeri namun menemui jalan buntu dan gagal mencapai penyelesaian untuk bantu syarikat itu.

Difahamkan enam laluan utama yang masih beroperasi seperti biasa termasuk Kota Bharu-Pasir Mas-Rantau Panjang; KB-Cabang Empat-Pengkalan Kubor; KB-Pasir Mas-Tanah Merah; KB-Pasir Puteh-Jerteh; KB-Machang-Kuala Krai dan KB-Pengkalan Chepa.

Bagaimanapun, usaha Sinar Harian mendapatkan penjelasan pihak syarikat bas berkenaan gagal.

Begitupun, ikuti halaman K3, Kerajaan Pusat janji bantu SKMK atasi masalah itu.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - Dua keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman pusaka lebih 10 tahun lalu yang didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Bunga Emas di Penambang di sini hari ini.
  • KOTA BHARU - Seorang peniaga kedai makan mengaku tidak salah di mahkamah sesyen, di sini, atas kesalahan merogol kekasih bawah umur, Ogos lalu.
  • KOTA BHARU - “Saya sentiasa berdoa dan terus berdoa serta buat solat hajat untuk Angah, rindu benar kami untuk lihat dia sembuh, senyum dan mendengar suaranya mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran,” luah ibu pelajar Maahad Tahfiz Al-Hashimi, Muhammad Hafiz Faizuddin.
  • KOTA BHARU - Seramai 40 keluarga di Kampung Keladang Salor, di sini membuat himpunan aman bagi membantah tindakan sebuah syarikat yang didakwa menceroboh tanah diusahakan mereka sejak sebulan lalu.
  • KOTA BHARU - Musibah kebakaran yang melanda Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah memberi kesan besar kepada masyarakat termasuk perlu bertindak membawa remaja kepada al-Quran dan tidak membiarkan mereka dalam bahaya.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.