PASIR MAS - Lebih 1,000 penduduk dari sepuluh kampung sekitar Tok Uban sering berdepan masalah gangguan bekalan elektrik.

Masalah itu dikatakan berpunca daripada wayar kabel model lama yang tidak dibungkus dan masih digunakan untuk menyalurkan bekalan kepada penduduk setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan, Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Mukim Bujuk Muhammad Che Man, 57, berkata, masalah berkenaan sering berlaku setiap kali hujan lebat dan angin kencang.

"Setiap kali angin kencang ia akan menyebabkan ranting kayu jatuh ke atas wayar kabel berkenaan.

"Keadaan itu akan menyebabkan berlaku gangguan bekalan elektrik di kawasan sekitar," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, masalah itu menyebabkan barangan elektrik milik penduduk mengalami kerosakan akibat lebihan voltan setiap kali bekalan terputus.

Katanya, situasi itu menjadikan penduduk di kawasan berkenaan buntu memikirkan masalah yang berlaku.

"Tahun ini sahaja, lebih lima kali masalah gangguan elektrik berlaku.

"Aduan kepada pihak berkenaan sudah dibuat, namun hingga hari ini tiada sebarang tindakan diambil," katanya.

Muhammad berkata, beliau berharap pihak berkenaan segera turun padang untuk meninjau masalah tersebut.

Katanya, langkah segera perlu diambil bagi mengelakkan berlakunya perkara di luar jangkaan.

"Saya lakukan semua ini demi kepentingan rakyat dan bukannya atas nama individu.

"Sebagai pemimpin saya berhak berbuat demikian kerana ia merupakan sebahagian daripada tugas. Saya percaya, apabila wayar tersebut ditukar secara tidak langsung masalah ini dapat dikurangkan," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.