KOTA BHARU - Umno Parlimen Pengkalan Chepa membantah pengumuman Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Pengkalan Chepa, Ismail Omar berkata, seramai lebih 800 jemaah memohon pertolongan dari ALLAH SWT supaya usaha Trump yang disifatkan sebagai menzalami umat Islam Palestin itu tidak berjaya.

"Umno Pengkalan Chepa terpanggil untuk mengambil inisiatif melakukan solat sunat hajat sambil mengadakan sambutan Maulidur Rasul memohon pertolongan ALLAH supaya langkah Trump gagal.

"Dalam isu ini, kami sangat bersimpati dengan nasib rakyat Palestin yang tidak pernah terbela dari dulu hingga ke hari ini," katanya yang mengetuai bantahan aman yang dilakukan di Masjid Mukim Dal, Tok Sadang, Pengkalan Chepa, di sini, malam tadi.

Doa selepas solat hajat memohon pertolongan dari ALLAH SWT menyelamatkan Baitulmaqdis, malam tadi.

Bantahan aman itu dilakukan menerusi solat hajat beramai-ramai di Masjid Mukim Dal Tok Sadang dalam kawasan Dun Chempaka, di sini.

Majlis itu juga diadakan bersempena Program Sambutan Maulidur Rasul diraikan bersama penduduk sekitar.

Turut hadir, Penyelaras Dun Kijang, Wan Shahrul Azuan Wan Abdul Aziz, Penyelaras Dun Chempaka, Mohamed Fareez Noor Amran dan Penyelaras Dun Panchor, Haris Husin.