KOTA BHARU - Dua belas pengetua sekolah tahfiz di Kelantan melahirkan rasa tidak puas hati terhadap peruntukan diberikan oleh kerajaan terhadap 28 institusi pengajian tahfiz, baru-baru ini.

Pemangku Presiden Sekolah-Sekolah Tahfiz Malaysia (Permata), Ya'akob Wan Harun berkata, 12 pusat tahfiz masing-masing hanya menerima RM15,000 manakala 16 pusat tahfiz lagi masing-masing menerima RM100,000.

“Apa yang menghairankan bagaimana sekolah tahfiz yang sudah lama ditubuhkan serta mempunyai ramai pelajar hanya menerima bantuan yang sedikit sedangkan sekolah tahfiz baharu dengan jumlah pelajar sedikit diberikan peruntukan yang lebih.

“Justeru, 12 pengetua ini menuntut penjelasan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung perkara berkenaan,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini hari ini.

Ya’akob berkata, pengagihan peruntukan yang disifatkan tidak adil itu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pengetua kerana mereka telah berdaftar dengan Maik sebelum ini dan perkara itu tidak sepatutnya berlaku.  

Beliau berkata, pihaknya tidak tahu apakah asas atau sebab jumlah peruntukan yang diberikan tidak sama dan berharap pihak kerajaan khususnya Maik dan Jakim menjelaskannya kepada sekolah tahfiz terlibat.

"Sekolah-sekolah tahfiz terlibat ini adalah antara yang terbesar di negeri ini dan berharap ada jalan penyelesaian secara adil.

"Kita tidak mahu berlaku sebarang keciciran dalam soal pembahagian ini apatah lagi kebanyakan sekolah tahfiz hanya mengharapkan sumbangan daripada orang ramai," kata Ya'akob.- Bernama