KOTA BHARU - [VIDEO] Hujan lebat hampir tiga jam petang tadi menyebabkan banjir kilat berlaku di beberapa lokasi di sekitar Kota Bharu.

Situasi itu turut menyebabkan air melimpah di jalan dan menyebabkan kesesakan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Panji, di sini.

Turut menerima kesan Hospital Raja Perempuan Zainab ll Kota Bharu apabila beberapa lokasi  dikatakan air naik secara cepat dan mendadak ekoran hujan lebat.

Dalam pada itu, Mustakim Wan Azmi, 24, dari Kampung Pauh, Panji, berkata, banjir kilat begini pernah terjadi pada 2014.

"Keadaan agak kelam-kabut di sini apabila air mula memenuhi kawasan jalan hadapan sekolah dipenuhi hujan.

"Biasanya kalau banjir besar, penduduk menggunakan bot di kawasan sekolah ini kerana ia berada di kawasan lembah," katanya kepada Sinar Harian, di sini, hari ini.

Penduduk, Salmiah Ibrahim, 31, berkata, dia melihat banyak motosikal mengalami masalah (enjin mati) setelah mengharungi air.

"Saya tidak berani untuk meneruskan perjalanan untuk ke kedai runcit hadapan.

"Banyak kenderaan terpaksa berpatah semula untuk mencari jalan alternatif lain," katanya.

Sinar Harian difahamkan masalah ini antara lain berpunca dari longkang tersumbat selain hujan lebat berterusan.