BACHOK – Bangkai seekor ikan lumba-lumba ditemui terdampar oleh orang awam di pesisir Pantai Telong pagi semalam.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Kelantan, Anuar Salam Sulaiman berkata, pihak Jabatan Perikanan Kelantan telah menerima laporan berkaitan penemuan itu oleh seorang penginap di sebuah pusat peranginan berdekatan, kira- kira jam 7.30 pagi.

“Pihak kami telah menerima laporan berkaitan penemuan itu melalui aplikasi ‘Whats App’ jam 11 pagi dan kami telah memaklumkan kakitangan untuk ke lokasi bagi menyiasat perkara terbabit sebelum memaklumkan Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Terengganu," katanya kepada Sinar Harian.

Anuar Salam berkata, ikan lumba- lumba atau nama saintifiknya ‘Neophocaena Phocaenoides’  itu dipercayai telah mati sejak dua hari lalu.

"Berdasarkan kecederaan yang dialami pada beberapa bahagian kepala, badan dan ekor ikan itu dipercayai terkena jaring pukat.

"Hasil maklum balas daripada FRI Rantau Abang, bangkai ikan lumba- lumba itu  akan segera ditanam di lokasi berhampiran," katanya.

Difahamkan, penemuan ikan lumba- lumba di Bachok ini adalah pertama kali dalam tahun ini.

Sebelum ini pada 2016 seekor bangkai ikan lumba- lumba juga pernah ditemui terdampar di pantai Sungai Gali, Kandis.