GUA MUSANG - 'Biarlah Ayu tinggal di kampung dia dahulu, itu lebih baik," kata peraih getah yang mengahwini kanak-kanak berusia 11 tahun pada Syawal lalu.

Menurut Che Abdul Karim Che Hamid, 41, dia sudah lama tidak berjumpa dengan isteri ketiganya, Masaryu Romadsa, kerana gagal dihubungi.

"Kali terakhir saya berjumpa Ayu sebelum dia dan keluarga pulang ke Kampung Nara, Thailand. Selepas itu, dia gagal dikesan dan mungkin masih di sana.

"Saya cuba menghubunginya namun tak dapat kerana tiada talian di sana. Saya yakin dia sekeluarga masih di Thailand kerana Ayu juga berada di bawah pengawasan jabatan kebajikan di sana.

"Memanglah terkilan kerana saya tidak tahu bagaimana keadaan dia di sana. Namun saya rasa, ada baiknya dia di sana kerana di sini pelbagai masalah timbul dan saya kasihankan dia," katanya ketika dihubungi.

Tambah Che Abdul Karim, situasi di sini lebih rumit dan biarlah keadaan kembali reda dahulu.

"Saya terima jika ini yang perlu saya lalui selepas membuat keputusan mengahwini Ayu.

"Sekiranya saya tidak dapat berjumpanya sehingga tempoh lima tahun, saya tetap tunggu Ayu kerana itu sudah janji saya sebelum ini.

"Bagaimanapun, saya harap keadaan akan kembali reda tidak lama lagi. Walaupun dia masih muda, dia juga ada hati dan perasaan," katanya.

Menurutnya lagi, dia tidak pernah menyembunyikan Ayu daripada masyarakat atau mana-mana pihak berkuasa sebelum ini.

"Saya tak pernah sorokkan Ayu. Selain dari kediaman yang disewa di Kampung Panggung Lalat, mereka juga ada penempatan lain di Kampung Lalang.

"Rumah itu disediakan majikan bapanya dalam kebun getah untuk memudahkan mereka beradu lelah. Sebelum ini pun, mereka tinggal di situ bila malas berulang alik.

"Saya tidak tahu mengenai laporan portal berita yang mengatakan Ayu dihantar ke Narathiwat, Thailand dan kini di bawah jagaan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keselamatan Manusia Thailand," katanya.

Terdahulu, perkahwinan pasangan itu menerima kecaman rakyat Malaysia selepas tular dalam media sosial sejak Jun lalu.

Che Abdul Karim yang sudah mempunyai dua isteri turut didenda RM1,800 atas dua pertuduhan iaitu berkahwin dan berpoligami tanpa kebenaran di Mahkamah Rendah Syariah Gua Musang pada bulan lalu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Terkilan suami kahwini kanak-kanak 11 tahun]

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Ayu sudah baligh tahun lalu']

[ARTIKEL BERKAITAN: Suami mahu Ayu belajar di sekolah pondok]

[ARTIKEL BERKAITAN: Peraih kahwin budak 11 tahun didenda RM1,800]