KOTA BHARU - Di sisi kenderaan tulis “Van Sekolah” atau “Van Kilang”, padahal beroperasi tanpa permit.

Itu modus operandi dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan digunakan oleh segelintir pengusaha kenderaan pengangkutan di daerah ini.

Timbalan Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Apandi Jusoh berkata, hasil risikan pihaknya mendapati terdapat sekurang-kurangnya 60 buah van yang digunakan untuk mengangkut pekerja kilang serta pelajar sekolah di daerah ini tidak menepati piawaian keselamatan digariskan pihak berkuasa.

Katanya, pengusaha van sekolah dan van kilang tersebut mengabaikan aspek keselamatan penumpangnya kerana terlalu mementingkan keuntungan semata-mata.

“Mereka tiada permit, jadi bagaimana mereka hendak yakinkan ibu-bapa dan orang ramai ialah dengan mengecat van tersebut dengan warna jingga bagi van sekolah dan biru untuk van kilang.

"Di bahagian sisi kenderaan itu mereka akan letak tulisan bas sekolah, van kilang atau bas pekerja untuk mengaburi mata pihak berkuasa. Ini taktik salah yang digunakan oleh pengusaha kenderaan pengangkutan ini,” katanya semalam.