KOTA BHARU - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terpaksa menggunakan dua lori untuk mengangkut sampah dalam rumah seorang lelaki lumpuh di Pengkalan Chepa di sini.

Kediaman itu dihuni Baharum Osman, 69, yang juga ayah kepada Muhammad Zul Apis Baharum atau lebih dikenali sebagai Mat Tere.

Pegawai Bahagian Latihan dan Operasi APM Kota Bharu, Leftenan Safiyan Ibrahim berkata, pihaknya menerima aduan mengenai timbunan sampah di rumah warga emas berkenaan.

Menurutnya, operasi yang diketuainya bersama 12 anggota APM itu bermula jam 9 pagi hingga 1.30 petang dan turut mendapat kerjasama daripada jiran sekeliling.

“Kita mengambil masa hampir empat jam mengeluarkan sampah dan barang-barang lusuh seperi pakaian dan karpet buruk yang dibiarkan tersimpan dalam rumah.

“Selain itu kita turut mencuci keseluruhan bahagian rumah bermula dari bahagian hadapan hingga ke dapur termasuk tandas yang bertakung,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini

Baharum yang terlantar turut menghidap penyakit buah pinggang, darah tinggi dan kencing manis tinggal di rumah itu bersama isterinya, Marjan Mohamad Hassan, 55.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Tanpa Mukim Dun Panchor, Hamidah Maidin berkata, pihaknya menghantar surat aduan kepada APM setelah gagal memikirkan cara untuk menyelesaikan masalah timbunan sampah rumah pasangan itu yang tidak berkesudahan.

“Ada jiran pernah cuba menolong membersihkan rumah ini tetapi usaha itu tidak begitu disenangi oleh isteri Baharum.

“Warga emas itu dulu bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan dan turut mengutip barang terpakai untuk menambah pendapatan tetapi dia tidak lagi mampu berjalan setelah diserang angin ahmar kira-kira dua bulan lalu,” katanya.