GUA MUSANG - Amanah tidak mengintai wakil rakyat untuk mengukuhkan kedudukan parti namun lebih kepada penyertaan dalam kalangan ahli.

Pengerusi Amanah Kelantan, Wan Rahim Wan Abdullah berkata, beliau tidak menolak kemungkinan akan ada Adun yang bakal mengikut jejak langkah Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Menurutnya, ada beberapa Adun di Kelantan yang akan menyertai Bersatu demi kebajikan rakyat di kawasan masing-masing.

"Saya yakin, sedikit masa lagi, akan ada wakil rakyat yang ikut Tok Pa. Namun dalam Amanah, kita tidak menyasarkan ke arah itu kerana kita lebih fokus untuk menambah bilangan ahli.

"Sehingga kini, kita memiliki 10,000 ahli dan kita menyasarkan 3,000 keahlian setiap bulan bagi membolehkan kita mengumpul 100,000 ahli menjelang PRU15.

"Di Kelantan, kita juara tiga bulan berturut iaitu Julai, Ogos dan September dalam penyertaan ahli paling ramai. Ia satu kejayaan besar buat Amanah Kelantan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima 286 borang keahlian baharu dari empat cawangan iaitu Sungai Asap, Kampung Dalam La, Taman Agropolitan Rantau Manis dan Paloh di Dewan Serbaguna Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Sungai Asap B di sini, semalam.