KOTA BHARU - Airmata Ketua Pembangkang Dun Kelantan, Datuk Nozula Mat Diah dianggap sebagai ‘lakonan’ pada hari terakhir sidang Dun (Belanjawan) setelah dihalau oleh Speaker, Datuk Abdullah Yakob, pagi tadi.

Timbalan Speaker Dun, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, lakonan air mata Adun Paloh tersebut dijangka dilakukan untuk menghentam pihak kerajaan pada ceramah-ceramah selepas sidang Dun nanti atau memang sengaja kerana mahu pulang awal dari persidangan.

“Semasa sesi perbahasan bajet 2018hari ini, 10 Adun mengambil bahagian. Bermula dengan Adun Melor, Gual Periok,  Ayer Lanas, Selising, Gaal, Perupok, Tendong, Kok Lanas, Salor dan berakhir dengan Kelaboran.

“Setelah tamat perbahasan Adun Kelaboran, tidak ada seorang Ahli Dewan yang bangun untuk membuat perbahasan termasuk Nozula, bahkan sepanjang tempoh perbahasan bajet, tidak pula kelihatan Adun Paloh bangun untuk  meminta laluan, sama ada sewaktu Speaker mengendalikan persidangan ataupun saya,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Abdul Latif yang juga Adun Mengkebang berkata, seingatnya, Nozula pernah bangun mencelah (tanpa kebenaran) sewaktu Adun Tendong sedang berucap dan beliau ada membuat teguran supaya tidak boleh mencelah kecuali dengan kebenaran Speaker serta meminta supaya beliau mengambil bahagian dalam perbahasan.

“Sekitar jam 4.30 petang ini, Adun Kelaboran menamatkan ucapan perbahasan beliau dan tidak seorang pun Ahli Dewan yang bangun. Bermakna, ucapan Adun Kelaboran adalah ucapan perbahasan bajet yang terakhir daripada Ahli Dewan.

“Pagi tadi, selepas persidangan disambung sekitar jam 11.20 pagi, Speaker menjemput pihak Kerajaan  atau Exco untuk membuat penggulungan dan secara tiba-tiba, Nozula bangun untuk berucap, namun Speaker tidak membenarkan kerana sesi perbahasan sudah pun tamat,” katanya.

Beliau berkata,  setelah lebih tiga kali Speaker meminta Nozila duduk,  beliau bagaimanapun berkeras tidak mahu duduk, akhirnya Speaker terpaksa menggunakan Peraturan Dewan 51(2) iaitu ‘mengundurkan’ Paloh dari Persidangan Dewan.

“Sebelum itu Adun Kelaboran mencadangkan supaya dirujuk kepada Peraturan Dewan 47(1) iaitu hendaklah patuh kepada Speaker dengan serta-merta dan duduk dengan segera.

“Jadi, tidak timbul Speaker tidak memberi peluang kepada Adun Paloh berucap, bahkan tuduhan beliau Speaker tidak berlaku adil adalah tidak benar sama sekali kerana daripada 10 Ahli Dewan yang berbahas, terdapat empat Adun adalah pembangkang,” katanya.

Kata Abdul Latif, pada sesi petang hari ini juga,  ada satu lagi Rang Undang-Undang akan dibentangkan iaitu Rang Undang-Undang Pesuruhjaya Tanah, yang mana, ahli-ahli Dewan masih mempunyai peluang dan dibenarkan untuk membuat perbahasan.

“Namun,  semua Adun BN sudah pun keluar bersama-sama dengan Nozula, ini bermakna mereka tidak mahu mengambil bahagian dalam perbahasan kerana sehingga jam 3 petang  tadi, tiada seorang pun Adun pembangkang berada dalam dewan,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :