GUA MUSANG - Jualan minuman di gerai ini berbeza berbanding gerai lain yang menjual air di dalam gelas atau bungkusan plastik.

Namun di gerai milik Maswani Hamzah, 35, dari Kampung Lembaga, di sini, dia memilih kelainan apabila menyediakan ‘air kocok’ dalam bekas pelbagai pilihan.

Menurutnya yang berniaga di Bazar Ramadan Chiku 3, pelanggan boleh pilih bekas air yang diinginkan dari harga serendah RM3.

“Saya menjual air kocok dalam bekas ini sudah tiga tahun dan sambutan amat memberangsangkan.

“Saya memilih kaedah ini bagi menarik minat pembeli. Mereka pilih bekas yang mereka mahu dengan pelbagai pilihan air seperti honey dew, cappucino dan teh hijau.

“Harga air mengikut saiz bekas iaitu RM3, RM4 dan RM5. Alhamdulillah, setiap hari sepanjang lebih seminggu di bazar Ramadan, saya mampu menjual lebih 200 bekas setiap hari,” katanya kepada Sinar Harian.

Maswani berkata, dengan bantuan tiga pekerja, dia turut menyediakan khidmat isian semula di mana pembeli boleh membawa bekas yang dibeli untuk mendapatkan air dengan harga RM3.

"Pelanggan hanya perlu bawa bekas berkenaan untuk beli air seterusnya dengan harga RM3. Saya menyediakan lebih 10 jenis air.

"Meskipun air kocok bukan lagi minuman asing di sini, namun kelainan ini menyebabkan pelanggan suka," katanya.