TUMPAT - Penternak dalam kalangan ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) disaran fokus kepada bidang ternakan lembu secara fidlot kerana ia memberi pulangan lumayan.

Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Kelantan, Mohd Rashid Awang berkata, meskipun ia di peringkat permulaan apabila penternak di bawah PPK Rantau Panjang dan Gua Musang memulakan ternakan itu, ia tetap berpotensi untuk dikomersialkan di PPK lain.

Menurutnya, Kelantan adalah pengeluar lembu terbesar di Malaysia tetapi kebanyakan pengusaha adalah penternak individu.

“Kami akan membantu merealisasikan agar penternak menternak lembu melalui sistem fidlot kerana ia lebih ekonomi dan mudah untuk kawal penyakit.

“LPP boleh bantu penternak melalui Pembangunan Usahawan Peladang dengan modal RM50,000 untuk ceburkan diri dalam industri ini,” katanya.

Mohd Rashid berkata, untuk memulakan industri tersebut, PPK Kuala Langat di Selangor dijadikan model kerana ternakan lembu fidlot di sana sudah berjaya.

“Negeri Kelantan pun ada peluang untuk majukan industri ini, asalkan penternak di bawah PPK fokus dalam industri ini,” katanya.

Terdahulu beliau merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PPK Tumpat kali ke-43 sebelum majlis diteruskan dengan sambutan Aidilfitri.

Hadir sama, Pengurus Besar PPK Tumpat, Tuan Mohd Ali Tuan Yusof dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK Tumpat, Mohd Hasmy Hasim.