PASIR MAS - Merakyatkan semula Umno menjadi agenda utama Datuk Ab Ghani Harun sebaik sahaja diberi mandat menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Umno Bahagian Pasir Mas.

Ab Ghani berkata, agenda itu dilihat langkah terbaik dalam memulihkan semula imej parti selepas buat kali pertama gagal membentuk kerajaan diperingkat persekutuan selepas lebih 60 tahun mentadbir negara ini.

"Untuk makluman semua, saya telah merancang beberapa program turun padang bertemu dengan ahli dan penyokong Umno untuk mendapatkan maklumbalas mereka terhadap parti itu.

"Setiap maklumat yang diperoleh ini akan dianalisis dan kita akan cari formula terbaik untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap perjuangan Umno," katanya.

Menurutnya, walaupun ia bukan tugas mudah namun beliau nekad untuk memastikan parti itu terus releven.

Katanya, beliau akan gunakan pengalaman sebagai bekas pegawai kerajaan yang selalu berdamping dengan rakyat untuk berdepan dengan masyarakat di peringkat akar umbi.

"Bila banyak turun padang, pelbagai maklumat akan kita peroleh dan ini baik untuk parti," katanya.

Ab Ghani berkata, pemerkasaan peringkat akar umbi ini juga merupakan salah satu platform memperkasakan Umno.

Katanya, kekuatan akar umbi sebenarnya akan menentukan keutuhan parti pada masa hadapan.

"Saya akan mengadakan mesyuarat dengan seluruh pimpinan bahagian Pasir Mas bagi memastikan hasrat itu dapat direalisasikan," katanya.

Pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Pasir Mas 30 Jun lalu, Ab Ghani yang juga bekas Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan menang tanpa bertanding.

Beliau memperoleh kemenangan itu selepas pencabarnya Che Johan Che Pa menarik diri disaat-saat akhir.