• Dr Asyraf Wajdi Dusuki Dr Asyraf Wajdi Dusuki
1 /

Hari ini apabila ada yang bercakap mengenai agenda memartabatkan bangsa Melayu maka sering kali mereka akan terus dituduh rasis atau perkauman. Sedangkan bangsa lain yang berjuang menegakkan hak dan kepentingan bangsa mereka tidak pula dianggap rasis.

Tuduhan sebeginilah menyebabkan segelintir orang Melayu kadangkala malu, bahkan rasa bersalah atau apologetik apabila nak bercakap mengenai hak dan kepentingan mereka.

Sebelum menelusuri lebih lanjut isu ini, adalah lebih baik untuk difahami terlebih dahulu makna rasis yang sebenar. Jika dirujuk Kamus Oxford antarabangsa, rasis ialah satu kefahaman bahawa sesuatu bangsa itu lebih mulia berbanding bangsa lain hingga menebal nilai prejudis yang membawa kepada perlakuan diskriminasi, menafikan hak bangsa lain kerana dianggap lebih rendah martabatnya berbanding mereka.

Persoalannya benarkah pejuang Melayu bersikap rasis sebagaimana definisi ini? Apakah agenda memartabatkan bangsa Melayu ini bertentangan dengan prinsip Islam?

Hakikatnya mereka yang sering memperjuang agenda Melayu dan Bumiputera tidak pernah mendakwa Melayu itu lebih mulia berbanding bangsa lain. Mereka juga tidak sesekali mendesak agar kerajaan melakukan dasar diskriminasi hingga menafikan hak dan kepentingan bangsa lain sebagaimana dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Jika difahami konteks perjuangan memartabatkan agenda Melayu ia hanyalah menegaskan agar dasar afirmatif yang menzahirkan semangat dan aspirasi Perlembagaan Persekutuan dipertahankan. Desakan sedemikian lahir atas rasa khuatir dengan sikap segelintir ekstremis kaum yang mulai berani mencabar Perlembagaan.

Apa yang pasti agenda Melayu bukanlah seperti faham nasionalisme sekular Barat yang terpisah daripada prinsip dan aturan agama hingga menggejala budaya rasis atau perkauman sempit yang membinasakan.

Sebaliknya agenda Melayu mencangkup makna kebangsaan yang luas dan subur dengan nilai-nilai keislaman sejati yang hakikatnya begitu kental. Dalam upaya menyuburkan semangat kebangsaan dan patriotisme, bekas pimpinan tertinggi Pas yang juga tokoh agamawan nasionalis terkenal, Dr Burhanuddin al-Hilmy dalam makalahnya - Perjuangan Kita, secara jelas merungkaikan makna perjuangan nasionalisme Melayu yang harus berpaksikan nilai-nilai keislaman sejati yang bersifat akomodatif, menjunjung prinsip keadilan, rasa kemanusiaan dan persaudaraan sejagat.

Menurut beliau, dengan menjunjung prinsip keadilan dan kebenaran sahajalah mampu menjelmakan semangat kebangsaan luhur dan tidak mudah terjerat dalam kerangka asabiyyah jahiliyah atau fanatik kesukuan melulu.

Pemikiran beliau ini seiring dengan firasat ahli falsafah Islam tersohor Ibn Khaldun yang lahir pada zaman kegemilangan kerajaan Islam Andalusia. Melalui kitabnya yang masyhur Muqaddimah, Ibn Khaldun menyingkap faham kebangsaan berteraskan dua dimensi asabiyyah yang menurutnya boleh jadi positif atau negatif.

Beliau mentakrifkan asabiyyah positif ialah semangat permuafakatan dan persefahaman yang terbentuk dalam struktur sosial masyarakat hingga membudaya sikap tolong-menolong dan bekerjasama antara satu sama lain.

Sebaliknya sesebuah tamadun akan terdedah kepada kebinasaan sekiranya asabiyyah jahiliyah berlandaskan sentimen perkauman sempit lebih mendominasi sesuatu bangsa.
Pandangan Ibn Khaldun ini berasaskan hadis berkenaan seorang sahabat yang bertanya kepada Nabi SAW: “Apakah yang dimaksudkan asabiyah itu?

Apakah kecintaan seseorang terhadap bangsanya dikatakan asabiyah? Rasulullah SAW menjawab, “Tidak! Yang dimaksudkan asabiyah ialah apabila seseorang menolong bangsanya dalam melakukan kezaliman.” (Riwayat Ibn Majah).

Sememangnya pandangan Ibn Khaldun mengenai kedua-dua dimensi asabiyyah ini amat penting untuk dihayati bagi meletakkan asas kefahaman kebangsaan di tempatnya. Justeru, tidak timbul isu rasis bagi sebuah perjuangan memartabatkan agenda bangsa kiranya yang diperjuangkan itu selaras prinsip keadilan Islam.