KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Kelantan mengeluarkan 66 notis dengan jumlah kompaun sebanyak RM8,300 kepada peniaga bazar yang ingkar Peraturan Kebersihan Makanan di seluruh negeri ini dalam tempoh seminggu Ramadan.

Pengarahnya, Datuk Ahmad Razin Datuk Ahmad Mahir berkata, antara kesalahan utama yang dikenal pasti adalah tidak mematuhi peraturan pemakaian ketika berniaga.

“Setakat 23 Mei lalu, daripada 66 jumlah itu, 40 notis dikeluarkan kepada peniaga kerana tidak memakai apron, penutup kepala dan kasut.

“14 lagi notis kepada peniaga berkait dengan ketidakpatuhan kepada pemeriksaan dan keadaan kesihatan pengendali makanan, manakala selebihnya lain-lain kes,” katanya ketika Operasi Bazar Ramadan di pekarangan Stadium Sultan Muhamad IV, hari ini.

Operasi dengan tema ke arah Kelantan Gerbang Makanan Sihat 2020: Lazat itu disertai 30 anggota dengan kerjasama Fama.

Sebanyak 50 bekas makanan tertutup dan 50 apron berwarna putih turut diagihkan kepada peniaga.

Ahmad Razin berkata, dalam operasi itu pihaknya memberi teguran kepada sebahagian peniaga kerana membiarkan makanan dijual terdedah.

“Masih ada peniaga yang dikesan tidak menutup makanan yang dijual terutama kuih-muih dan lauk-pauk menyebabkan terdedah kepada lalat. Kita mahu mereka ubah cara dengan meletakkan kuih-muih yang dijual dalam bekas tertutup,” katanya.

Beliau berkata, tahun ini sebanyak 64 bazar membabitkan 3,592 petak jualan dibuka di seluruh Kelantan dengan jumlah tertinggi di Kota Bharu iaitu 17 bazar dengan 1,500 petak niaga.

Menurutnya, sebanyak 65 pasukan dibentuk membabitkan 258 anggota bagi menjalankan pendidikan, pemantauan dan pemeriksaan terhadap tahap kebersihan dan keselamatan makanan di setiap bazar berkenaan.