GUA MUSANG - Sebanyak 500 unit rumah akan dibina di parlimen ini bagi membolehkan golongan kurang berkemampuan memiliki kediaman sendiri.

Ketua Wanita PKR Kelantan, Noraini Husain berkata, pembinaan ini bagi mengambil kira ramai dalam kalangan berpendapatan rendah masih belum memiliki rumah sendiri.

Katanya, sehingga kini, sebanyak 300 unit projek pembangunan perumahan mampu milik di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar akan dibangunkan.

"Insya-ALLAH, bermula tahun depan kita akan laksanakannya bagi memastikan kebajikan rakyat terbela.

"Sehingga kini, lebih 5,000 permohonan dalam senarai menunggu dan kita akan mempertimbangkan dari masa ke masa.

"Permohonan pembinaan perumahan ini sentiasa meningkat setiap tahun melibatkan golongan dalam kategori berpendapatan RM3,000 ke bawah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas pertemuan pemimpin PH bersama masyarakat, semalam.

Dalam pada itu, Noraini memberitahu di unit Projek Perumahan Rakyat (PPR), terdapat kekosongan di empat blok dimana dua blok boleh diduduki manakala dua blok lagi dalam proses baik pulih.

"Empat blok tersebut dianggarkan mampu memuatkan hampir 400 keluarga atau 380 unit.

"Kita mengesan berlaku ketirisan dalam pembahagian rumah kepada peserta dan pemutihan akan dilakukan ke atas penerima yang tidak layak.

"Antaranya mereka yang telah ada rumah, berkemampuan dan tidak menduduki unit berkenaan dengan alasan yang tidak munasabah," katanya.

Tambah Noraini yang juga Timbalan Ketua Wanita PH Kelantan, pembinaan balai bomba di Chiku juga akan dilaksanakan tidak lama lagi.