50 tahun jadi bilal
$entry.content.caption.value

KANGKONG – Setelah berkhidmat selama 50 tahun sebagai bilal Masjid Mahmudiah Mukim Kangkong, Mat Ali Mamat, 85, mengundurkan diri bagi memberi ruang kepada generasi baru, untuk memegang jawatan tersebut, semalam.

Bekas bilal, Mat Ali berkata, demi kepentingan penduduk dan jemaah masjid, dia rela melepaskan tugas dipikul sejak berusia 35 tahun.

Menurutnya, banyak kenangan manis diperoleh di sepanjang tugasnya sebagai bilal, kerana tugas itu sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya sejak puluhan tahun lalu.

“Saya mula memegang peranan sebagai bilal pada tahun 1962 dan sehingga kini, sudah enam Tok Imam bertugas bersama saya di sini.

“Saya juga tidak menyangka akan menjadi bilal masjid dalam jangka masa yang lama,” katanya selepas majlis perpisahannya dan sambutan Maulidur Rasul, semalam.

Mat Ali berkata, selepas ini, dia akan menghabiskan masa bersama anak dan cucu, namun semua aktiviti masjid tidak akan ditinggalkan.

Menurutnya, Masjid Mahmudiah amat aktif menjalankan aktiviti keagamaan seperti tazkirah, majlis tahlil dan banyak lagi.

Maka katanya, meskipun dia tidak lagi memegang sebarang jawatan, dia akan cuba menjadi salah seorang jemaah tetap di masjid ini.

“Saya memohon maaf, kepada semua anak mukim di sini, kerana memegang peranan Tok bilal terlalu lama.

“Sepanjang 50 tahun sebagai Tok Bilal, saya mohon maaf kerana saya mungkin melakukan kesilapan secara tidak disengajakan,” katanya.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.