KOTA BHARU – Seramai 47 peserta bakal sertai Program Kayuhan Merdeka Rentas Benua 200 Kilometer (km) di Perth, Australia selama lima hari bermula esok hingga Jumaat ini.

Program julung kali anjuran Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dengan kerjasama Kelab Sukan dan Kebajikan Kumpulan PKINK (KSKK PKINK) itu turut mendapat sokongan Pejabat Setiausaha kerajaan negeri serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan.  

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PKINK, Ab Aziz Yunus berkata, ia sebahagian daripada inisiatif syarikat berkaitan kerajaan negeri bagi menggalakkan aktiviti sihat dalam kalangan masyarakat tempatan.

Menurut beliau, peserta akan memulakan kayuhan di Bell Power dan mengelilingi Perth selain mengunjungi Masjid Al-Taqwa Mirrabooka di bandar raya berkenaan bagi menyampaikan dana daripada KSKK PKINK.

“Ia bukan sekadar aktiviti berbasikal biasa sebaliknya bermatlamat mahu membina jaringan usaha sama selain mengenali lebih dekat budaya atau cara hidup masyarakat antarabangsa.

“Sempena sambutan bulan kemerdekaan, peserta juga akan mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Kelantan sepanjang kayuhan ini dan kita mendapat kebenaran daripada Konsulat Australia berhubung perkara ini,” katanya.  

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan majlis pelepasan peserta kayuhan di Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Roslan Hamat dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan.

Program kayuhan itu turut disertai Hasanuddin selain bekas Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Faudzi Che Mamat dan bekas CEO PKINK, Datuk Dr Wan Zawawi Wan Ismail.

Sementara itu, Wan Roslan memberitahu, beliau menyokong penuh aktiviti berkenaan bersesuaian dengan fokus kerajaan negeri pada penggal ke-14 mahu mengurangkan gejala sosial.

“Kerajaan berterima kasih di atas usaha murni ini dan dasar ta’awun (kerjasama) pelbagai pihak sudah pasti membolehkan penganjuran program ini mencapai matlamatnya,” katanya.