KOTA BHARU - Seramai 42 pelajar di sekitar daerah ini ditangkap melakukan pelbagai kesalahan juvana termasuk kes rogol dalam tempoh lapan bulan bermula Januari tahun ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Noor Halim Nordin berkata, bagaimanapun secara keseluruhan jumlah itu menurun berbanding tahun lalu bagi tempoh sama.

Menurutnya, pada tahun 2017 seramai 47 pelajar sekitar daerah ini ditahan yang terlibat dalam 34 kes, manakala 2018 pula, 42 ditangkap melibatkan 30 kes sahaja.

“Kesalahan paling popular adalah curi motosikal yang mana pada tahun lalu sebanyak 16 kes dicatatkan dan tahun ini menurun kepada lapan kes.

“Tangkapan juga melibatkan kesalahan lain seperti, kes rogol, pecah rumah, samun tanpa senjata api, curi motokar dan mencederakan,” katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu beliau merasmikan Merdeka Fun Ride Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penambang yang melibatkan kira-kira 200 pelajar terdiri dari lima sekolah di sini semalam.

Turut hadir, Pengetua SMK Penambang, Omar Ab Rahman, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Kota Bharu, Aminuddin Awang dan Pegawai Perhubungan Awam Sekolah, Inspektor Mohd Arif Mohd Zain.

Bagi jenayah rogol pula katanya, pada tahun ini berlaku sedikit peningkatan kepada lima kejadian berbanding tiga kes tahun lalu dan ia memerlukan perhatian bersama untuk menangani perkara sedemikian.

Noor Halim berkata, pihaknya mendapati penglibatan pelajar dengan kesalahan berkenaan dikaitkan dengan pengaruh media massa, sikap ibu bapa dan juga pengaruh rakan sebaya.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama daripada semua pihak termasuk masyarakat untuk melaporkan segala kejadian jenayah di sekitar kawasan mereka.