KOTA BHARU - Seramai 39 pelajar, dua guru dan pembantu makmal sebuah sekolah menengah di daerah ini, hari ini diserang histeria.

Kejadian bermula pada jam 7.30 pagi, apabila seorang pelajar perempuan tingkatan dua mula menjerit ketika perhimpunan di dewan terbuka selepas selesai program membaca al-Quran.

Pengetua sekolah terbabit berkata, pelajar berkenaan bertindak menjerit sebelum serangan itu berjangkit kepada pelajar perempuan yang lain.

Katanya, pihak sekolah kemudian bertindak mengasingkan perempuan dan lelaki selain pelajar lelaki turut diminta mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran.

“Pihak sekolah turut memaklumkan perkara ini kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sebelum pihak jabatan membenarkan perawatan Islam dibawa masuk bagi merawat pesakit.

“Pelajar yang terkena histeria diberi rawatan segera dan keadaan berjaya ditenangkan 40 minit kemudian dan dan dalam satu arahan JPN juga membenarkan sesi persekolahan ditamatkan lebih awal,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian ke sekolah berkenaan mendapati pelajar mula pulang sejak jam 11 pagi. Dua guru perempuan serta seorang pembantu makmal masih menerima rawatan daripada Persatuan Perubatan, Pengubatan dan Kebajikan Islam Malaysia (Darussyifa’) Kelantan.

Beliau berkata, pihak sekolah juga akan  menganjurkan solat hajat dan bacaan surah Yasin malam ini.

Sementara itu, Pengarah Darussyifa’ Kelantan, Zaki Ya, melalui satu arahan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu bergegas ke sekolah berkenaan.

“Semasa tiba jam 8.30 pagi ke sekolah ini, keadaan agak huru-hara kerana lebih 30 pelajar bertempik. Ada pelajar yang menangis, ada menjerit kesakitan.

“Semua yang diserang histeria dirawat di surau sekolah sebelum keadaan bertambah baik selepas 40 minit. Sehingga pukul 12 tengah hari seramai 46 orang dirawat kerana histeria,” katanya.