KOTA BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan memeriksa 34 premis perniagaan termasuk pasar raya dan kedai runcit dalam Op Catut 5.0 Fasa Kedua, bermula semalam.

Timbalan Pengarahnya, Firdus Zakaria berkata, operasi bersepadu bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri itu bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga selepas pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Menurutnya, sebelum ini, KPDNHEP melakukan pemantauan di 513 premis melibatkan lebih 15,000 barangan dalam Op Catut 5.0 Fasa Pertama bagi mengumpul data harga barangan, sepanjang bulan lalu.

“Pemeriksaan ke atas 34 premis ini merupakan pemeriksaan ulangan di mana sebelum ini kita telah menyimpan senarai harga dan semalam kita periksa sekali lagi untuk membuat perbandingan harga bila SST dikuatkuasakan.

“Kita dapati semua premis ini masih mengekalkan harga sama, tiada perubahan. Ada 30 barangan kebanyakannya keperluan utama isi rumah seperti syampu, sabun dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan pemeriksaan ke atas premis makanan segera dan pasar raya di sebuah pusat beli-belah di Kota Bharu, hari ini.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan SST akan dilaksanakan bermula 1 September bagi menggantikan GST susulan Rang Undang-Undang  (RUU) Cukai Jualan 2018 dan Cukai Perkhidmatan 2018 diluluskan Parlimen, pada 20 Ogos lalu.

Firdus memberitahu, sehingga kini, pihaknya tidak menerima sebarang aduan daripada pengguna berhubung tindakan peniaga melakukan pencatutan harga barangan atau perkhidmatan selepas pelaksanaan SST.

“Setakat ini belum ada aduan, tetapi kita alu-alukan orang ramai kemukakan aduan sekiranya ada kepada bilik gerakan yang dibuka setiap hari termasuk hari minggu dan cuti umum,” katanya.

Tambahnya lagi, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan ke atas peniaga yang memanipulasi harga barang mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Kita ingatkan peniaga atau individu yang melanggar akta ini boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya manakala pertubuhan pula boleh didenda RM500,000,” katanya.