JELI - Sebanyak 32 notis kompaun dikeluarkan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan sempena Operasi Bersepadu Premis Makanan Bersih di sini.

Pegawai Kesihatan Daerah Jeli, Dr Ahmad Syaarani Yasin berkata, kesemua notis kompaun dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

"Antara kesalahan di bawah peraturan berkenaan termasuk kesalahan di bawah Peraturan 31, iaitu tidak mematuhi kehendak yang berhubung dengan pemeriksaan perubatan dan keadaan kesihatan pengendali makanan, Peraturan 32, iaitu tidak mematuhi kehendak yg berhubung dengan pakaian pengendali makanan dan Peraturan 33, tidak mematuhi kehendak yg berhubung dengan kebersihan dan pengendali makanan.

"Notis kompaun dengan jumlah antara RM100 hingga RM1,000 dikeluarkan terhadap peniaga terlibat," katanya kepada Sinar Harian di sini.

Menurutnya, operasi berkenaan dijalankan bagi memastikan setiap peniaga makanan di daerah ini mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan Makanan 1985 serta Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Katanya, sebanyak 49 premis diperiksa dalam operasi melibatkan lebih 60 kakitangan Jabatan Kesihatan dari semua daerah di negeri ini yang terdiri daripada Pegawai dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran serta Pembantu Kesihatan Awam.

Mengulas lanjut, Ahmad Syaarani berkata, 10 pasukan digerakkan untuk menjayakan operasi berkenaan yang bermula kira- kira jam 10 pagi hingga 1 petang itu.

Beliau berkata, dalam operasi itu pihaknya turut merampas bahan makanan yang didapati melanggar peraturan ditetapkan terutama melibatkan kesalahan dari aspek perlabelan melibatkan kos sebanyak RM133.

"Ada antara bahan- bahan makanan atau penyedap rasa yang dirampas  dikeluarkan oleh negara jiran dan ditulis sepenuh menggunakan bahasa Thailand," katanya.

Ahmad Syaarani berkata, antara yang turut diperiksa sepanjang operasi berkenaan ialah, pengendali makanan selain cara pengendaliannya.

"Kita turut melihat aspek penyediaan makanan, penyimpanan bahan mentah di luar mahupun dalam peti sejuk selain tahap kebersihan persekitaran premis," katanya.

Beliau berkata, Jeli merupakan lokasi ke sembilan dalam operasi Bersih Premis Makanan bagi siri ke 17 itu.