GUA MUSANG - Musim raja buah sudah bermula. Bagi mereka yang mempunyai kebun durian, sudah pasti inilah musim yang paling ditunggu-tunggu.

Di Kampung Pasir Tumboh, tujuh pemilik kebun durian menggunakan perahu dan bot untuk membawa keluar hasil kebun mereka untuk dijual secara borong.

Mana tidaknya, setiap daripadanya berjaya membawa keluar hampir 300 kilogram (kg) durian setiap hari kepada peraih yang sedang menunggu seawal pagi di seberang sungai.

Menurut Ab Malek Seman, dia dan isterinya, Norfadilah Dollah, setiap hari seawal jam 8 pagi, mereka akan menaiki perahu menyelusuri Sungai Nenggiri untuk ke kebun durian.

Katanya, mereka menggunakan pengangkutan itu sahaja untuk ke kebun di seberang sungai memandangkan tiada laluan darat.

"Sejak seminggu yang lalu, kebun durian seluas satu hektar itu mula mengeluarkan hasil. Setiap pokok, saya anggarkan akan mengeluarkan hasil RM3,000 sepanjang musim ini seperti tahun sebelum ini.

"Setiap hari, saya akan membawa lebih 200kg durian untuk peraih yang sedang menunggu di seberang sungai untuk dijual ke sekitar Gua Musang dan kawasan berdekatan.

"Untuk harga borong, saya hanya tolak dengan harga RM3 hingga RM4 sekilogram sahaja," katanya lagi.