KOTA BHARU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mengesan 17 sekolah agama pondok di negeri ini beroperasi tanpa permit daripada jabatan tersebut.

Pengarahnya, Nazili Mahmood berkata sekolah berkenaan yang terletak di beberapa daerah didapati berisiko tinggi sekiranya berlaku kebakaran berikutan ciri-ciri keselamatan bangunan didapati kurang memuaskan.

"Kita dapati kebanyakan sekolah pondok yang beroperasi tanpa permit ini terdedah kepada kebakaran kerana sistem pendawaian elektrik serta struktur bangunan yang diperbuat daripada kayu sudah lama,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Nazili berkata pihaknya sudah menasihati kesemua pemilik sekolah pondok tersebut supaya meningkatkan ciri-ciri keselamatan seperti membuat pendawaian baharu, memasang peralatan mengesan asap dan pemasangan geriji besi yang mudah dibuka.

“Berdasarkan rekod terdahulu, kebanyakan kes sekolah pondok terbakar adalah disebabkan litar pintas, kelalaian menggunakan dapur memasak dan ubat nyamuk,” katanya.

Beliau berkata setakat ini hanya 46 sekolah pondok dan pusat tahfiz di negeri ini sudah diberikan permit selepas pemeriksaan yang dijalankan mendapati pengusaha pondok terbabit mematuhi syarat-syarat keselamatan yang ditetapkan.

Sehubungan itu, beliau menasihati ibu bapa supaya memilih sekolah pondok yang beroperasi secara sah termasuk memiliki permit daripada jabatannya.

Nazili berkata demikian ketika mengulas kejadian seramai 21 pelajar dan dua guru terkorban dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur hari ini.-Bernama