ALOR SETAR - Kerajaan Kedah menyasar untuk mengurangkan aduan berhubung gangguan bekalan air ke tahap paling minimum demi kebaikan seluruh rakyat, di negeri ini.
   
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan, Badrol Hisham Hashim berkata Syarikat Air Darul Aman (Sada) yang menguruskan bekalan air bersih di Kedah, komited untuk menyelesaikan masalah bekalan air dalam tempoh 24 jam, sebaik menerima aduan.
   
"Saya yakin masalah gangguan bekalan air akan dapat dikurangkan kerana Sada memberi penekanan khusus sekiranya terdapat ganguan bekalan air.
   
"Ada beberapa perkara seperti paip air pecah akibat tekanan air terlalu tinggi, itu memang kita tak dapat nak elak tapi kita akan selesaikan dalam tempoh singkat," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
   
Badrol Hisham yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Padang Terap berkata masalah bekalan air yang berlaku sejak lima tahun lepas di beberapa kawasan di negeri ini akan turut diberi perhatian dan ia bakal diselesaikan segera.

Menurut beliau tinjauan di beberapa tempat di daerah Padang Terap seperti di Kampung Pisang dan Kampung Sukamari, penduduk memberi reaksi positif setelah masalah bekalan air yang dialami sebelum ini, berjaya diselesaikan.
   
"Lima tahun sebelum ini ramai penduduk tidak puas hati gara-gara bekalan air di rumah mereka sering terputus sehingga ada penduduk terpaksa menggunakan air sungai, perigi dan ada yang membeli air mineral dengan kos yang tinggi," katanya.
   
Mengenai tindakan segelintir penduduk luar bandar yang menggunakan sumber air bukit melalui projek air masyarakat, Badrol Hisham berkata penduduk boleh membuat permohonan untuk mendapatkan bekalan air bersih daripada pihak Sada.
   
"Kalau penduduk ramai yang mohon air bersih, kita boleh laksanakan projek itu. Kalau di satu-satu kawasan tidak ramai penduduk kita tak boleh nak pasang paip sebab ia melibatkan kos yang agak tinggi," katanya. - Bernama