KUALA LUMPUR - Teruja menang judi siber ‘Live Roulette’ sebanyak RM26,000 dengan modal RM200, seorang pemuda menjadi kaki judi yang kemudiaannya terikat dengan ah long bagi menyara kehidupannya.

Hanya mahu dikenali sebagai Abdullah, mangsa 24 tahun itu mendakwa menjadi kaki judi siber melalui dorongan rakannya sejak enam tahun lalu.      
“Dengan bermodalkan RM50 masa itu, kami menang RM500.

“Merasakan permainan itu mudah mendapatkan duit, keesokan harinya saya pergi main seorang diri dengan modal yang lebih besar iaitu RM100 dan menang RM200.

Dari hari itulah saya mula ketagih dengan permainan judi siber,” katanya.

Bagi menampung tabiat buruknya, Abdullah yang memperoleh pendapatan RM2,000 sebulan sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di Subang meminjam RM1,000 sebulan dan perlu membayar RM1,200 kepada ah long.

Akibatnya, duit gajinya habis diguna untuk membayar hutang dan dia terpaksa berhutang semula dengan ah long itu untuk menampung perbelanjaan harian.

Keadaan ini berterusan selama tiga tahun dan kini dia menyesali perbuatannya yang didorong rasa tamak itu.

Sementara itu, menurut Presiden Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia, Datuk Seri Dr Saharuddin Awang Yahya, tabiat suka berjudi dan tamak boleh mendorong seseorang terbabit dengan ah long.

“Bermula dengan judi, seseorang itu akan berhadapan masalah, contohnya selalu kehabisan wang  dan terpaksa pinjam ah long  hingga mereka tidak sedar perkara itu adalah permulaan kepada masalah besar,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Sukarelawan Pembangunan Sosial, Pencegahan Jenayah dan Antidadah, R Jeevan pula mendedahkan ada pusat judi yang menyediakan perkhidmatan pinjaman wang tidak berlesen.

“Apabila seseorang itu berjudi dan kalah, maka dia akan cari jalan untuk dapatkan semua wangnya dan cara paling mudah meminjam ah long," katanya.

Menurutnya, tidak ada penyelesaian mudah mengikis tabiat buruk berjudi, namun sebaiknya mereka perlu mengelak meminjam daripada ceti haram.

"Sebaik-baik penyelesaian ialah berhenti berjudi,," katanya. - Bernama