JOHOR BAHRU - MCA mengumumkan Ketua Wanita MCA negeri, Wong You Foong sebagai calon BN untuk kerusi Dun Perling pada PRU14 yang akan diadakan pada 9 Mei depan.

Pengumuman itu dibuat Presiden MCA, Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai semasa melawat Bilik Gerakan MCA Bahagian Pulai, di sini, hari ini.

Menurut Tiong Lai, kepimpinan MCA yakin dapat merampas kembali kerusi Dun Perling itu yang sebelum ini disandang oleh DAP.

“Pada PRU13, kita hanya tewas sedikit untuk kerusi ini dan kita yakin dapat mengembalikan semula ia (kerusi Dun Perling) ke tangan BN.

“Kita telah mempunyai kerjasama yang baik bersama parti komponen lain di bawah BN.

Malah, kita akan terus bertungkus lumus di kawasan Perling untuk memastikan BN menang untuk kerusi ini,” katanya.

Hadir sama; Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Penyandang kerusi Parlimen Pulai yang juga Ketua Umno Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed, Timbalan Pengerusi MCA negeri, Datuk Tee Siew Kiong dan Pengerusi MCA Bahagian Pulai, Senator Chia Song Cheng.

Sementara itu, You Foong yang juga Timbalan Pengerusi Wanita MCA Kebangsaan memberitahu beliau berbangga dan sangat berterima kasih kepada pucuk pimpinan yang memberinya tanggungjawab menggalas mandat yang besar itu.

“Ini merupakan harapan yang sangat besar kerana kita yakin dapat menang dalam Dun ini. Sepanjang perkhidmatan kami di sini, kita hanya kalah pada PRU13. Tetapi, kita kalah tidak banyak iaitu 1,970 undi.

Jadi, kita ada keyakinan pada PRU14 ini.

“Tetapi, kita tidak sekadar bersandar pada keyakinan sahaja, maka kita akan tumpukan perhatian kepada banyak isu khususnya keperluan masyarakat di sini kerana kawasan ini terletak di bandar yang saya akui ia cukup mencabar.

“Selama ini juga, kita telah bersungguh-sungguh berkhidmat yang mana kita mempunyai Ahli Majlis, kaunselor hospital dan rakan-rakan dalam BN terutamanya Datuk Nur Jazlan juga turut banyak membantu serta rajin dalam kawasan parlimen ini,” katanya.

Untuk rekod Dun Perling yang dahulunya dikenali sebagai Dun Pengkalan Rinting berjaya dimenangi oleh Cheo Yee How dari DAP setelah menewaskan Chang Mei Kee dari BN pada PRU13.

Sementara itu, Ka Siong yang juga Pengerusi MCA negeri berkata, pihaknya akan meneruskan usaha pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC)  Poay Chai yang terletak di Taman Bukit Indah 2 dalam masa terdekat bagi memenuhi keperluan penduduk kawasan itu.