MUAR - Majlis Perbandaran Muar (MPM) mencadangkan agar papan iklan milik premis yang diukir di tiang sejak lebih setengah abad diwartakan bagi memelihara nilai sejarah di bandar ini.

Yang Dipertua MPM, Mustaffa Kamal Shamsudin berkata, langkah itu harus dilaksanakan sebagai memberi pengecualian terhadap aset berkenaan daripada dikenakan lesen bayaran papan iklan.

“Kami cadangkan agar tulisan iklan yang wujud sebelum 1950 didaftarkan di arkib negara supaya diwartakan sebagai bahan sejarah.

“Melalui pelaksanaan ini, tiada undang-undang kecil yang boleh memindanya dan MPM juga tidak berdepan masalah untuk mengekalkan iklan tersebut termasuk bahasa-bahasa lain yang wujud,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengikuti lawatan Exco Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi, Tan Hong Pin yang meninjau papan iklan premis di Bandar Maharani, di sini, semalam.

Terdahulu, sebuah akhbar berbahasa Cina melaporkan beberapa peniaga di Jalan Sisi, di sini, buntu apabila diberikan notis untuk menurunkan tulisan iklan bahasa Mandarin di tiang dan dinding yang menjadi trademark sejak setengah abad lalu.

Mustaffa Kamal berkata, perkara ini menjadi isu apabila MPM memperoleh jumlah yang tidak selari antara premis didaftarkan dengan lesen papan iklan.

Katanya, pada Februari ini, pihaknya menerima kira-kira 9,000 jumlah keseluruhan premis perniagaan di Muar manakala lesen papan iklan pula hanya membitkan 5,000.

Menurutnya, jumlah itu tidak selari berikutan lesen papan iklan sepatutnya mempunyai jumlah lebih besar daripada angka premis perniagaan yang didaftarkan.

“Premis yang ada lebih daripada satu papan iklan termasuk di tiang sekalipun harus membayar kese­muanya.

“Contohnya se­buah kedai ada enam iklan termasuk di dinding dan tiang jadi pemiliknya kena bayar semua tapi kelaziman mereka cuma bayar satu sahaja,” katanya.

Mustaffa Kamal berkata, pada 2006 kerajaan negeri telah menge­luarkan garis panduan tentang saiz ejaan dan tulisan iklan sebelum MPM meminda un­dang-undang berkaitan pelesenan pada 2011 agar mereka mematuhi garis panduan itu.

Katanya, notis yang dikeluarkan kepada pemilik baru-baru ini mengikut peruntukan undang-undang selepas MPM ditegur pada setiap kali audit.

Sementara itu, Hong Pin berkata, tindakan MPM mengeluarkan notis terhadap pemilik premis tiada unsur diskriminasi atau bersifat perkauman

Beliau berkata, tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu adalah untuk menguat­kuasakan peruntukan undang-undang yang ada tanpa sebarang niat jahat.

“Mungkin ada sedikit keke­liruan dalam hal ini tetapi dari segi undang-undang iklan di dinding atau tiang itu juga perlu dilesenkan seperti yang lain.

“Namun, mungkin juga ada terlepas pandang untuk pelihara unsur warisan di Muar ini,” katanya.

Oleh yang demikian, Hong Pin berkata, pihaknya akan keluar pekeliling serta garis panduan iaitu selain men­junjung bahasa kebangsaan PBT juga perlu ambil kira elemen sejarah dan warisan bangsa lain.Hong Pin bertemu peniaga yang menjalankan urusniaga di premis bersejarah dibina sebelum tahun 1950.