BATU PAHAT - Seorang wanita antara empat individu yang ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kes pengedaran dadah, di sini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, wanita warga tempatan berusia 26 tahun itu ditahan bersama tiga lelaki termasuk seorang warganegara Indonesia berusia antara 37 hingga 28 tahun.

Katanya, dalam kejadian Isnin lalu, kesemua suspek ditahan di sebuah kediaman di Kampung Sungai Suloh, di sini pada jam 11.45 malam.

“Ketika serbuan, polis menemui 1,940 biji pil ekstasi; 10 biji pil eramin 5; heroin (154.3 gram) dan syabu seberat 12 gram di mana nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM60,000.

“Hasil siasatan mendapati kediaman yang dimiliki oleh salah seorang suspek ini dipercayai digunakan sebagai tempat transit bekalan dadah semata-mata,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati kesemua suspek ini baru sahaja aktif bersama dadah sejak kira-kira lima bulan lalu.

“Semakan rekod lampau mendapati dua lelaki warga tempatan itu turut mempunyai kes berkaitan dadah. Manakala ujian air kencing mendapati ketiga-tiga lelaki berkenaan positif dadah jenis methamphetamine sementara wanita itu pula negatif.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang mana sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori,” katanya.

Menurutnya, kesemua suspek kini direman selama tujuh hari bermula daripada tarikh tangkapan.