JOHOR BAHRU – Viral kesalahan tidak menunaikan solat Jumaat yang tular di laman sosial adalah benar.

Exco Agama negeri, Abd Muttalib Abd Rahim berkata, ini kerana perkara tersebut terkandung dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.

“Ya memang ada di bawah Seksyen 14 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 tentang perkara tersebut.

“Di bawah seksyen tersebut ada memperuntukkan bahawa mana-mana lelaki yang baligh yang tidak menunaikan sembahyang Jumaat di masjid dalam kariahnya tiga kali berturut-turut tanpa uzur syarie atau tanpa sebab-sebab munasab adalah melakukan satu kesalahan.

“Jika disabitkan, dia boleh didenda atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Terdahulu, tular tentang surat yang dikeluarkan oleh Pejabat Kadi Daerah Mersing bertarikh 19 Februari 2018 tentang perkara itu dan menerima pelbagai reaksi.

Surat tersebut turut menyatakan perkara tersebut perlu dihebahkan kepada ahli qariah masjid sama ada selepas solat Jumaat 1 Mac 2018.