KLUANG - Usaha mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang hilang di Gunung Gua Rimau, di sini, kelmarin, diteruskan selepas operasi yang bermula semalam gagal menemukan sebarang jejak atau tanda yang ditinggalkan mangsa.

Ketua Operasi SAR, Inspektor Mohd Adzhan Mat berkata mangsa, Muhamad Nizam Ahmad Ansar, 29,  dilaporkan hilang ketika sedang dalam perjalanan pulang bersama 35 lagi rakan sekerjanya ke hentian di kaki gunung berkenaan.

"Kehilangan mangsa hanya disedari rakan pendaki selepas masing-masing tiba di kaki gunung pada pukul 5 petang, Sabtu lalu. Pada awalnya, rakan mangsa bersama malim gunung cuba mencari mangsa namun gagal.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pendaki sesat di Gunung Gua Rimau]

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Naluri mak cik yakin dia selamat']

"Laporan polis hanya dibuat semalam di Balai Polis Kampung Gajah sebelum operasi SAR dibuat kira-kira pukul 4 petang namun mangsa gagal ditemui oleh pasukan penyelamat," katanya sewaktu sidang media di Bilik Operasi SAR di Hutan Lipur Gunung Berlumut, di sini, hari ini.

Menurutnya, operasi yang masuk hari kedua dan akan diteruskan sehingga jam 6 petang ini juga turut disertai oleh 80 anggota penyelamat terdiri daripada polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Majlis Perbandaran Kluang (MPK) dan Jabatan Perhutanan.

"Beberapa anggota penyelamat juga akan ditempatkan di kaki gunung untuk pemantauan berterusan pada sebelah malam dan ini merupakan kes pertama pendaki hilang di gunung tersebut pada tahun ini.

"Kawasan pencarian pada hari ini seluas kira-kira 1.4 kilometer membabitkan enam pasukan kecil dan sekiranya mangsa tidak dijumpai, kawasan pencarian akan diluaskan secara berperingkat," katanya.