MUAR - Keunikan nama kedai dalam tulisan Mandarin yang diukir di tiang bangunan premis lama di sini diakui umpama tugu warisan sejarah buat pemilik lantaran seni berkenaan telah terlakar sejak puluhan dekad.

Dakwa peniaga, ukiran kreatif tersebut dirasakan begitu dekat dengan jiwa berikutan ia dihasilkan nenek moyang mereka sendiri serta mempunyai nilai sentimental.

Pemilik kedai perkakas rumah di Jalan Sisi, di sini, Chow Kim Sheng, 63, berkata, tiang ukiran tertera nama kedai itu dihasilkan datuknya sebaik membuka perniagaan tersebut sejak hampir 100 tahun lalu.

“Kedai ini dah macam sebahagian daripada jiwa kami sekeluarga. Datuk saya telah memulakan bisnes menjual peralatan binaan rumah ini sejak 92 tahun lalu termasuk ukiran papan kedai di tiang pada 1926 setelah tertubuhnya kedai ini.

“Maka, kami menyanjungi nilai seni yang terlakar di tiang ini dan berharap agar ia dikekalkan meskipun mengakui tidak mematuhi syarat-syarat papan iklan ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya kepada Sinar Harian.

Laporan Sinar Harian sebelum ini

 

Menurut Kim Sheng, mereka sekeluarga begitu menghargai kepayahan mendiang datuknya apabila bersusah payah menghiasi kedai itu untuk diwarisi kepada anak dan cucu sebelum diturunkan kepada dirinya yang merupakan generasi ketiga.

“Kami sedar undang-undang papan iklan di bawah PBT tidak membenarkan saiz tulisan lebih besar daripada tulisan rasmi, tetapi saya mohon agar ia dipertimbangkan sebagai keunikan dan nilai tradisional yang di bandar Muar,” ujarnya.

Dalam pada itu, pemilik kedai ubat dan herba, Kuek Kok Soon, 68, berkata, perniagaannya yang telah wujud sejak 60 tahun itu turut mempunyai nama kedai berbahasa Mandarin yang ditulis di tiang oleh bapanya.

“Kami anggap ini sebagai sejarah kerana meskipun bangunan telah beberapa kali dicat, namun bentuk tulisan ini tetap kami pertahankan sebab mengandungi seni yang tinggi apatah lagi ia ditulis oleh orang lama.

“Bentuk penulisan dan ejaannya juga berunsur tradisional maka saya tak sanggup untuk memadamnya macam tu sahaja. Kami harap ia dapat diberi perhatian oleh pihak berkaitan bagi melindungi tinggalan warisan oleh masyarakat terdahulu,” ujarnya.

Sebelum ini, beberapa peniaga resah apabila diberikan notis untuk menurunkan papan iklan mereka lantaran saiz dan penulisan yang tidak menepati syarat papan iklan oleh Majlis Perbandaran Muar (MPM).

Tinjauan Sinar Harian mendapati terdapat kira-kira 20 kedai lama mempunyai ukiran di tiang masing-masing yang tertera dengan nama kedai.

Bagaimanapun, berdasarkan undang-undang, mana-mana premis perniagaan yang mempunyai lebih satu papan iklan di kedai perlu memohon lesen mengikut jumlahnya termasuk pengiraan daripada segi saiz huruf.