JOHOR BAHRU - Umno Johor menyerahkan keputusan siasatan isu pemutihan dilakukan Umno Bahagian Mersing kepada ibu pejabat parti untuk tindakan selanjutnya.

Setiausahanya, Datuk Md Jais Sarday berkata, beliau sendiri menyerahkan laporan siasatan itu kepada Setiausaha Kerja Umno, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Kuala Lumpur sekitar jam 12 tengah hari semalam.

“Ketika proses siasatan, semua nama yang disenaraikan dalam pemutihan di Bahagian Mersing dipanggil ke Ibu Pejabat Umno negeri, namun ada beberapa ahli tidak hadir, tetapi bersurat.

“Ibu pejabat mesti membuat keputusan dalam tempoh terdekat dan saya jangkakan mungkin esok atau sebelum Hari Raya Aidilfitri selesai,” katanya.

Md Jais berkata, Umno Johor kini menunggu keputusan yang akan dibuat ibu pejabat mengenai perkara itu sebelum tarikh pencalonan untuk pertandingan parti ditutup pada 17 Jun ini.

Terdahulu, Umno Johor melantik Ketua Umno Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abd Samad sebagai Pengerusi Jawatankuasa Siasatan bagi menyiasat isu itu pada 5 Jun lepas.

Difahamkan, hampir 90 daripada 99 nama membabitkan 20 cawangan dalam Bahagian Mersing yang digantung keahlian bagi tujuan pemutihan hadir ke Ibu Pejabat Umno Johor selama dua hari proses siasatan tersebut dijalankan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Ketua Umno Bahagian Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad mengesahkan 99 ahli Umno bahagian tersebut digantung keahlian bagi tujuan pemutihan.

Katanya, walaupun tindakan itu bukan budaya Umno Bahagian Mersing, namun ia perlu demi kelangsungan parti.